
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan usaha yang dilakukan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk menuntut semula pulau itu.
“Saya berharap kali ini kita akan berjaya,” katanya selepas perasmian majlis pecah tanah Pasar Muafakat Sabah @ Johor dan penyerahan watikah pelantikan ketua masyarakat Sabah di Bandar Seri Alam, hari ini.
Semalam, Mohamed Apandi dalam satu kenyataan berkata, Malaysia sudah memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge).
Permohonan semakan semula itu yang difailkan di ICJ, The Hague, Belanda pada Khamis, adalah susulan penemuan 3 dokumen di National Archives of the United Kingdom.
Sementara itu, Pemuda Umno Johor yang menyambut baik permohonan semakan semula tersebut berharap pertikaian wilayah kedaulatan berkenaan akan berakhir dan memihak kepada Malaysia.
“Kami memandang isu Pulau Batu Puteh ini dengan cukup kritikal kerana ia melibatkan pertikaian wilayah kedaulatan Malaysia, yang secara sejarahnya pulau ini dimiliki Kesultanan Johor,” kata Ketuanya, Hahasrin Hashim.
Hahasrin berkata, perkembangan terbaharu itu semestinya memberi nafas dan harapan baharu bukan sahaja kepada rakyat Johor, tetapi juga semua rakyat Malaysia.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sementara Batuan Tengah adalah milik Malaysia dan Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan di mana pulau itu terletak.
Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh di Johor.