P Pinang bina 4 kali lebih banyak rumah mampu milik

jagdeep
GEORGE TOWN: Pentadbiran Pakatan di Pulau Pinang membina 4 kali lebih banyak rumah mampu milik berbanding pentadbiran BN, kata exco Jagdeep Singh Deo hari ini.

Jagdeep, yang memegang portfolio perumahan, berkata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor perlu mengesahkan fakta sebelum membuat tuduhan.

Antara 2008 dan 2016, sejumlah 20,887 unit rumah mampu milik jenis A (kos rendah) dan B (kos rendah-sederhana) dibina di Pulau Pinang.

“Bandingkan jumlah itu dengan 5,124 unit jenis serupaya yang dibina dalam tempoh tahun sama, iaitu dari 2000 hingga 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjawab hasrat Tengku Adnan menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan agar lebih banyak rumah mampu milik dibina untuk rakyat negeri itu.

Dalam usaha menangani kekurangan rumah mampu milik yang dibina kerajaan persekutuan, kerajaan negeri merancang pembinaan 14 projek – 26,522 unit pelbagai jenis rumah mampu milik – di semua daerah Pulau Pinang.

Jagdeep menambah kerajaan negeri bekerja rapat dengan sektor swasta, yang sedang membina 18.387 unit rumah mampu milik.

Ertinya, menurut Jagdeep, sejumlah 65,796 rumah dari jenis unit kos rendah RM42,000 kepada jenis C (harga siling RM300,000) akan terbina sepanjang 10 hingga 15 tahun akan datang.

Sebaliknya, menurut Jagdeep, tiada sebuah rumah unit rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dibina di negerinya sejak program diumumkan pada 2013.

Tambahnya, tiada sebuah unit rumah mampu milik dibawah program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dibina untuk penjawat awam di negerinya.

Beliau berkata permohonan untuk membina rumah dibawah PR1MA dan PPA1M di Pulau Pinang hanya diserahkan pada penghujung 2015.

Menurut Jagdeep, permohonan dibawah 2 program itu bagaimanapun akan tertangguh kerana tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Pulau Pinang yang dipinggirkan dan diabaikan kerana sehingga hari ini, tiada sebuah unit pun dibina di bawah program perumahan awam kerajaan persekutuan,” katanya.