Guan Eng ancam tindakan undang-undang terhadap NST, BH
Ketua menteri Pulau Pinang beri tempoh 48 jam kepada 2 akhbar berkaitan Umno supaya memohon maaf dan menarik balik artikel mendakwa beliau mempunyai peranan dalam tidak membaharui kontrak mufti.
Artikel New Straits Times (NST) dan Berita Harian (BH) mendakwa Guan Eng mahu menukar mufti selepas agamawan itu menguatkuasakan undang-undang melarang oleh orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” dan 39 perkataan lain, yang dianggap khusus untuk orang Islam.
Guan Eng memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil sekiranya mereka tidak menarik balik artikel itu dan memohon maaf dalam tempoh 48 jam.
Laporan itu memetik Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai berkata Guan Eng tidak membaharui kontrak Mufti Hassan Ahmad pada 2014 kerana peraturan itu.
Guan Eng memberitahu pemberita bahawa NST dan BH pernah berbohong mengenai banyak perkara, tetapi tidak dihiraukan sehinggalah isu itu timbul.
“Ini isu besar, memainkan sentimen perkauman bagi menutup kegagalan BN dan PAS.
“Saya mahu tegaskan saya tidak terlibat dalam pelantikan mufti kerana ia dicadangkan oleh Datuk Malik selepas mengambil pandangan (bekas ketua pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya, merujuk kepada Exco Hal Ehwal Islam Datuk Abdul Malik Abul Kassim.
Edisi Ahad BH bertarikh 5 Februari menulis “Kerajaan DAP campur tangan lantik mufti, fatwa”, sementara New Sunday Times pada hari sama membawa tajuk: Political intervention was real, kata PAS – Guan Eng had hand in non-renewal of mufti’s contract”.
Kedua-dua akhbar memetik status Facebook Afnan.
Sementara itu, Malik berkata kontrak bekas mufti Hasan sebenarnya diperbaharui 4 kali sejak undang-undang itu dikuatkuasakan.
“Hal pelantikan mufti, yang di-Pertua dan ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang disyorkan serta diluluskan Anwar.
Tidak ada sebarang campur tangan oleh Lim Guan Eng,” katanya.
Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan undang-undang pada 2010, melarang penggunaan 40 perkataan oleh orang bukan Islam, di bawah Seksyen 48(3) dan (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Bagaimanapun, seorang pegawai jabatan mufti memaklumkan tiada tindakan pernah diambil terhadap mana-mana orang mengikut undang-undang itu setakat ini.