Zaid akan lebih agresif serang kami, kata PAS

takiri-zaidPETALING JAYA: PAS mejangkakan Datuk Zaid Ibrahim akan menyerangnya dengan lebih agresif, selepas bekas menteri undang-undang itu menyertai DAP hari ini.

“Zaid selalu menyerang PAS sejak daripada Umno. Masa di PKR dan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) juga dia serang PAS.

“Masa tidak ada parti juga dia serang PAS. Ini masuk DAP akan lebih banyak menyerang PAS,” kata Ketua Penerangan Dewan Ulama Datuk Khairuddin Aman Razali.

Zaid pada sidang media pagi tadi membidas seteru parti baharunya itu sebagai “penunggang agama”.

Bekas menteri itu berkata PAS tidak melakukan apa-apa untuk menyelesaikan masalah rakyat, termasuklah perkara kecil seperti banjir kilat dan permasalahan sampah.

Zaid kemudian menyeru orang Melayu kembali mendakap nilai asal daripada mendengar golongan penjaja agama.

Khairuddin bagaimanapun menepis Zaid dengan berkata penyertaan bekas menteri itu tidak akan membantu pakatan pembangkang DAP, PKR dan Amanah bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Saya tidak pelik kalau Zaid masuk DAP. Dia seorang ahli politik yang sentiasa berubah angin.

“Zaid tidak memainkan peranan besar dalam pakatan pembangkang dan tidak akan memberi kesan apa-apa kepada pembangkang,” katanya.

Pertelagahan antara PAS dan DAP antaranya kerana isu pelaksanaan undang-undang Islam di Kelantan membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat.

Beberapa hari sebelum penyertaan Zaid, PAS melancarkan kritikan terhadap kerajaan Pulau Pinang, menuduh pentadbiran DAP-PKR mengabaikan orang Islam, menyebarkan liberalisme serta mencampuri urusan fatwa dan kontrak mufti, yang dinafikan oleh kedua parti.

Kritikan dilancarkan lebih kurang 3 minggu selepas PKR menghantar pemikirnya, Datuk Saifuddin Nasution, ke Pulau Pinang untuk menguatkan kedudukan Pakatan Harapan dalam kalangan orang Islam di sana.

Menghadapi pilihan raya umum ke-14, Pakatan Harapan bersama PPBM cuba mewujudkan kerjasama baharu dengan parti pembangkang lain bagi mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru.

PAS dilaporkan menolak kerjasama dengan DAP dan Amanah, tetapi bersetuju dengan strategi 1 lawan 1 di Selangor.