KDN: Siasatan kes dagang manusia meningkat 2 kali ganda

Zahid-Hamidi_human-tracking_600

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 100 sabitan kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom) direkodkan tahun lepas berbanding 7 pada 2015.

Beliau berkata peningkatan sabitan itu adalah hasil operasi bersepadu yang berterusan oleh pasukan penguatkuasaan, timbalan pendakwa raya, pegawai pelindung dan anggota Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Mapo).

Sabitan tahun lepas melibatkan 33 orang dengan 79 sabitan kes pemerdagangan orang, 9 penyeludupan migran dan 12 kes di bawah Akta Imigresen, Kanun Keseksaan serta akta lain, merangkumi hukuman penjara antara 3 dan 10 tahun serta penalti tertentu mengikut peruntukan akta terbabit, katanya.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata kertas siasatan yang dirujuk pada 2016 juga meningkat 2 kali ganda kepada 325 kertas siasatan berbanding 158 pada 2015.

Peningkatan ketara kertas siasatan dan pertuduhan mencerminkan komitmen padu dan kerjasama erat penguat kuasa Mapo yang merangkumi Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta badan perundangan iaitu mahkamah dan Jabatan Peguam Negara, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Beliau juga berkata 18 individu/majikan disabitkan kesalahan pemegangan pasport pekerja secara tidak sah di bawah Akta Pasport 1966 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Mengenai penguatkuasaan, Zahid berkata sebanyak 403 kes disiasat dan tangkapan dibuat ke atas 679 individu sepanjang tahun lepas mengikut jenis kesalahan eksploitasi seperti eksploitasi seks, perkhidmatan paksa, pemindahan organ serta aktiviti menyalahi undang-undang termasuk di bawah Akta Imigresen dan penjualan bayi.

“Seramai 42 penjawat awam dalam kalangan agensi penguat kuasa ditahan, disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya atas kesalahan berkaitan aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,” katanya.

Zahid berkata sebanyak 1,130 mangsa diberikan perintah pelindungan oleh mahkamah dan ditempatkan di rumah perlindungan di seluruh negara sehingga Disember tahun lepas dengan majoriti mangsa yang dieksploitasi adalah wanita.

“Dalam aspek pengurusan mangsa, kerajaan sentiasa memastikan obligasi perlindungan dan penjagaan mangsa berteraskan prinsip hak asasi manusia,” katanya.

Zahid berkata dari Januari hingga Disember tahun lepas, sebanyak 16 mangsa diberi kebenaran bergerak bebas dan 10 lagi diluluskan kebenaran bekerja di Malaysia sebelum mereka pulang ke negara asal.

“Kerajaan Malaysia melalui Mapo sentiasa komited dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan menyeru semua pihak memainkan peranan yang lebih signifikan dan tuntas dalam menyalurkan maklumat kepada pihak penguatkuasaan,” katanya.