Polis siasat anggota terlibat kes lelaki mati dalam lokap

abu-samahPETALING JAYA: Polis mengesahkan sudah memanggil anggotanya yang dipercayai terlibat dengan kematian lelaki dalam tahanan, S Balamurugan untuk disiasat.

Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat ketika dihubungi FMT hari ini berkata, pihaknya turut menubuhkan satu kumpulan siasatan khas bagi menyiasat salah laku anggotanya.

“Kita sedang membuat siasatan terhadap pegawai terlibat dalam salah laku yang membabitkan kejadian itu. Saya juga sudah tubuhkan kumpulan siasatan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

“Ia untuk menyiasat perkara ini secara mendalam dan hasil daripada siasatan, barulah ditentukan tindakan yang perlu jika terbukti ada pegawai melakukan kesalahan,” katanya.

Balamurugam, 44, dipercayai mati sewaktu dalam tahanan pada 8 Februari. Beberapa kesan luka, lebam dan darah jelas kelihatan pada tubuh mayat.

Ketika ini mayatnya masih berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. Ahli keluarganya akan menuntut mayat Balamurugan apabila siasatan penuh sebab kematian untuk kali ke-2 dijalankan.

Semalam, adik Balamurugan, S Balraj membuat satu laporan polis yang menggesa agar siasatan penuh dijalankan dan mendesak anggota polis terlibat digantung tugasan dan diambil tindakan tegas.

Abdul Samah berkata, anggota polis yang dipanggil untuk memberi keterangan dan disiasat, masih bertugas seperti biasa dan tindakan menggantung tugasnya tidak dapat dilakukan.

“Belum, sebab kita masih menyiasat. Kita tidak boleh menghukum orang tanpa siasatan rapi untuk menentukan salah dan silap,” katanya.

Jelas beliau lagi, pihaknya menyerahkan laporan siasatan kepada IPD Bukit Aman dan sebarang perkembangan mengenainya akan dimamklumkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Setakat ini, kita yang mengambil alih, Ibu Pejabat Polis Selangor, bukannya Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara,” katanya.

Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan kepada FMT bilangan anggota yang dipanggil dan pangkat masing-masing.

“Semua pegawai yang terlibat, saksi dan sebagainya daripada kalangan pegawai polis sudah dipanggil.

“Ada yang sudah dipanggil dan akan dipanggil. Kita perlu sedikit masa untuk buat siasatan terkini dengan perkara ini,” katanya.

Mengulas kejadian itu, Abdul Samah berkata pihaknya memandang serius mengenai salah laku anggota polis dan berjanji kepada masyarakat serta ahli keluarga akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang.

Semalam, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkata akan menubuhkan pasukan petugas mengikut peruntukan di bawah Seksyen 17 Akta EAIC 2009 (Akta 700) bagi menyiasat kes itu serta merta.

“Ia untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku, termasuk perlakuan yang bersifat jenayah oleh pegawai polis semasa mengendalikan tahanan dan berkaitan kematian tahanan tersebut,” ujar Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam.

 

Keluarga lelaki mati dalam lokap desak bedah siasat ke-2