Mati dalam tahanan: Peguam desak klasifikasi kes bunuh

Surendran_latheefa-koya_600

PETALING JAYA: Polis perlu mengklasifikasikan kes kematian dalam tahanan S Balamurugan sebagai pembunuhan, dan menggantung pegawai yang terbabit dalam kes itu serta-merta.

Peguam yang mewakili keluarga Balamurugan berkata demikian kerana terdapat fakta jelas yang mencadangkan mangsa diserang.

Peguam N Surendran dan Latheefa Koya, dalam satu kenyataan bersama hari ini menyenaraikan dapatan keluarga Balamurugan dan doktor yang menjalankan bedah siasat, yang menyatakan ada lebam ketara kelihatan pada mayat mangsa.

“Mengambil kira semua faktor itu, pada pandangan kami polis sepatutnya mengklasifikasikan kes itu sebagai siasatan pembunuhan.

“Melihat kepada fakta jelas itu, tidak perlu inkues diadakan berhubung kematian Balamurugan. Sebaliknya, siasatan jenayah perlu dijalankan secepat mungkin dan kemungkinan pendakwaan.

“Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah menyatakan seorang majistret perlu mengadakan inkuiri dalam kes kematian dalam tahanan, seksyen 333(3) memperuntukkan inkues tidak perlu diadakan sebaik saja prosiding jenayah dilaksanakan,” kata peguam.

Mereka juga mendesak semua pegawai polis yang dipercayai terbabit dalam kes itu digantung secepat mungkin, ketika siasatan dijalankan.

Balamurugan, 44, meninggal dunia pada 8 Februari ketika dalam tahanan polis dan menurut laporan berita, beliau ditemui dalam keadaan mukanya bengkak teruk dan berdarah.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia semalam berkata wujud kebimbangan yang polis melanggar prosedur operasi standard dengan, antara lain membiarkan Balamurugan di dalam lokap tanpa memberikan rawatan perubatan ketika mangsa sakit.

Suruhanjaya itu sedang menyiasat kes itu, bersama polis. Suruhanjaya Integriti Agensi Penguat kuasa (EAIC) juga melakukan siasatan, tetapi menjalankannya secara berasingan.

Penegrusi EAIC Yaacob Md Sam berkata siasatan itu akan melihat kepada kemungkinan berlaku salah laku antara pegawai polis Klang Utara yang mengendalikan Balamurugan.

Surendran dan Latheefa, dalam respons terhadap tindakan itu, mempersoalkan keputusan polis untuk membiarkan Balamurugan dalam tahanan mereka meskipun majistret mengarahkan mangsa dibebaskan.

“Ia fakta dan tidak dapat dinafikan yang Balamurugan sepatutnya dibebaskan atau dihantar ke hospital, tetapi mati dalam tahanan polis malam itu,” katanya.