Ada apa dengan ‘keluar’ malam minggu di Sri Petaling?

sri-petaling-1

PETALING JAYA: Suasana di Masjid Jamek Bandar Baru Sri Petaling pada petang Ahad lalu sibuk, dipenuhi jemaah yang tekun mendengar seorang penceramah.

Ceramah yang disampaikan tidak banyak berbeza daripada apa yang biasa kedengaran di majlis agama. Ia berkaitan hidup di akhirat, beramal soleh, dan kepentingan menyampaikan risalah agama.

Mereka bukan di situ secara kebetulan kerana mahu bersolat. Dan kebanyakan daripada jemaah seakan-akan mempunyai gaya dan identiti yang sama.

Masjid yang terletak di tengah-tengah pusat komersil di kawasan majoriti masyarakat Cina ini berperanan sebagai markaz Tabligh, pergerakan Islam sedunia yang unik disebabkan pendiriannya yang tidak meminati isu politik dan kenegaraan.

Sebaliknya, ia hanya tertumpu pada matlamat menyebarkan ajaran Islam menerusi aktiviti ibadat dan ziarah dari masjid ke masjid.

Sejak ia siap dibina dengan kos RM4 juta pada 1995 oleh sukarelawan, Masjid Sri Petaling menjadi nadi baru Tabligh di Malaysia, menggantikan Masjid India di tengah kesibukan kota raya Kuala Lumpur yang sekian lama menjadi tuan rumah setiap malam minggu.

Sekali seminggu, ratusan ahli Tabligh, istilah yang membawa maksud “penyampaian mesej”, berkumpul di sini. Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat daripada pelbagai kelas ekonomi: penjaja, doktor, jurutera, makan gaji.

Jemaah Tabligh diasaskan Muhammad Ilyas Kandhlawi di India pada 1927, dengan tujuan mengembalikan umat Islam kepada “cara hidup Islam” tanpa menyentuh soal politik, baik mengenai negara Islam mahupun pelaksanaan undang-undang syariah, isu yang sehingga kini menjadi bahan perdebatan di sesetengah negara Islam termasuk Malaysia.

Perhimpunan tahunannya biasanya membincangkan isu agama seperti iman dan ketaatan kepada Tuhan, dan tidak menyentuh hal ehwal “dunia”.

Jemaah Tabligh kini tersebar luas di hampir semua pelusuk dunia Islam, dengan berjuta-juta pengikut. Sebahagian besarnya tertumpu di benua kecil India, terutama Bangladesh, di mana ijtimak tahunan Tabligh di situ merupakan perhimpunan umat Islam kedua terbesar selepas ibadat Haji.

Ciri Tabligh

Ketiadaan struktur atau keahlian formal tidak bermaksud pengikut Tabligh sukar dikenali.

Ada beberapa ciri yang boleh dijadikan panduan mengenali jemaah Tabligh, dan ini bukan sahaja di Malaysia, malah di semua negara di mana pergerakan ini wujud hari ini.

sri-petaling-2

Antara ciri fizikal pengikut Tabligh ialah mereka selalunya memakai jubah putih atau pakaian ala Pakistan, dan berjambang. Itu ciri fizikal, tidak kira apa latar belakang budaya.

Manakala buku rujukan jemaah Tabligh juga boleh dikatakan mempunyai topik yang seragam dan tidak kontroversi, memetik hadis dan dalil Al-Quran bagi membimbing seseorang menjadi Muslim yang patuh kepada ajaran agama.

Rata-rata, walaupun dianggarkan ia mempunyai sejuta pengikut di Malaysia, iaitu bilangan yang tidak dapat disahkan oleh kerana strukturnya yang tidak formal, Tabligh tidak selalunya menjadi bahan berita.

Inilah mungkin satu-satunya gerakan Islam dengan keahlian ramai yang bergerak tanpa perhatian media dan wacana arus perdana.

Pihak pentadbiran Masjid Jamek Sri Petaling juga menolak permintaan FMT untuk mewawancara mereka.

Kontroversi

Pendirian sebegitu sekali pun, masih gagal menghindarkan kumpulan itu daripada kontroversi.

Januari lalu, 8 warga Indonesia daripada jemaah Tabligh ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura, Januari lalu.

Ia selepas salah seorang daripada mereka didakwa memiliki gambar bom kasut dan 2 keping gambar militan Islamic State (IS). Mereka diserahkan kepada polis Indonesia, yang bagaimanapun membebaskan mereka selepas mendapati mereka hanya pendakwah yang tidak ada kaitan dengan keganasan.

Itu bukan kali pertama Tabligh menjadi bahan berita. Lebih 2 dekad lalu, ia mendapat perhatian dada akhbar di Malaysia, selepas kerajaan negeri Melaka mengharamkan kegiatan Tabligh.

Keputusan yang diambil pentadbiran pimpinan ketua menteri ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, didasarkan kepada fatwa mufti negeri yang menganggap ia sesat. Antara kritikan dilemparkan terhadap Tabligh ialah pengikut yang mengabaikan tanggungjawab keluarga kerana terlalu asyik dengan program “keluar”.

“Keluar” merujuk amalan yang unik di dalam pergerakan Tabligh, di mana jemaah bersetuju mengorbankan masa 3 hari, 40 hari atau 4 bulan, tinggal di masjid-masjid di dalam dan luar negara bagi menyampaikan dakwah kepada kariah masjid serta penduduk di sekitar.

Pengharaman Tabligh di Melaka menerima pelbagai reaksi keras ketika itu. Namun, ia tidak mendapat reaksi keras daripada Tabligh sendiri.

Mana tidaknya, salah satu pegangan Tabligh ialah tidak bercampur dengan urusan politik, dan hanya tertumpu soal agama.

Sepetang di Sri Petaling

sri-petaling-4

Setiap aktiviti Tabligh hampir serupa programnya.

Begitu juga di Masjid Sri Petaling. Di tengah-tengah dewan solat, seorang penceramah menyampaikan “bayan Asar” atau kuliah selepas solat Asar, berkaitan hidup di akhirat dan kepentingan berdakwah.

Di satu sudut lain, diadakan “karguzari”, iaitu laporan daripada ahli yang baru pulang seputar dakwah mereka di persinggahan masing-masing.

“Biasanya kami akan terangkan tentang lokasi dan bagaimana sambutan penduduk di sana,” kata Mohd Hanif Abdullah, jemaah dari Muar, Johor.

Jemaah biasanya diberikan tanggungjawab menggerakkan program dakwah di kawasan tempat tinggal mereka.

“Jemaah sudah menyusun ahli di setiap kawasan. Misalnya saya dan beberapa rakan lain bertanggungjawab menyusun dakwah di 8 masjid di Sri Jaya (di Muar),” katanya yang baru pulang dari Poland untuk berdakwah di sana selama 3 bulan, tempoh masa “keluar” yang lama, memerlukan pengorbanan masa dan wang yang banyak.

Sementara menunggu waktu Isyak, jemaah mendengar “bayan” (seruan) dan sekali lagi antara perkara yang disentuh adalah kepentingan keluar bertemu mata dengan masyarakat untuk menyampaikan dakwah.

“Itulah suruhan Nabi, berjumpa masyarakat secara individu. Bukan sekadar beri ceramah dan tuduh orang lain salah (pemahaman agama),” kata Mohd Abdullah (bukan nama sebenar), jemaah dari Kuala Lumpur.

Disebabkan demografi jemaah, di beberapa bahagian masjid turut diadakan ceramah dalam bahasa lain antaranya Inggeris, Urdu dan Arab – barangkali juga dengan mesej yang serupa.

sri-petaling-3

Abdullah ditanya mengenai dakwaan aktiviti Tabligh menjauhkan seseorang daripada tanggungjawab, termasuk tuduhan tidak memberi nafkah kepada keluarga disebabkan sibuk menyertai program “keluar”.

“Tentang nafkah, pandailah kita selaku makhluk yang berakal dan berkudrat untuk mengaturkannya terlebih dulu.

“Bukankah kita ada jaminan Allah? Apalah sangat 4 bulan berbanding seumur hidup kita,” katanya, memberi jawapan yang hanya menyerlahkan identiti Tabligh sebagai sebuah pergerakan yang popular dengan ideologinya yang mudah.