Reman pengarah agensi kerajaan dilanjut 7 hari

jail

SHAH ALAM: Tempoh tahanan reman ke atas seorang pengarah agensi kerajaan yang disiasat berhubung dakwaan penyalahgunaan jawatan dan kedudukan melibatkan kontrak agensi itu, dilanjutkan 7 hari lagi, bermula hari ini.

Majistret Syajaratudur Abd Rahman mengeluarkan perintah reman itu kira-kira 11 pagi tadi.

Selain itu, Syajaratudur turut melanjutkan tempoh reman 7 hari lagi ke atas seorang kontraktor berumur 41 tahun yang turut ditahan kerana dipercayai menerima kontrak daripada pengarah terbabit.

Terdahulu, pengarah berumur 54 tahun itu yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di Mahkamah Majistret di sini, kira-kira 10.20 pagi diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Media sebelum ini melaporkan pengarah terbabit ditahan di sebuah hotel di Bagan Lalang, Sepang, pada 8 Februari lepas kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya bagi menganugerahkan projek membekalkan peralatan untuk agensinya kepada beberapa kontraktor berkepentingan.

Siasatan ke atas pengarah itu dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM10,000 atau 5 kali ganda suapan, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.