Kit Siang patut sokong pasukan siasat BNM, kata menteri

azalina

PETALING JAYA: Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Lim Kit Siang patut jadi orang pertama yang menyokong usaha kerajaan menubuhkan petugas khas siasatan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada 1990-an.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata ini peluang terbaik untuk Lim yang juga ketua Parlimen DAP membuktikan usul dibawa pada 1993 dan 1994 berkaitan isu itu di Dewan Rakyat, benar-benar berasas.

“Beliau sebelum ini begitu lantang di Dewan Rakyat mengemukakan pelbagai usul termasuk mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada 1990-an,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya Lim seharusnya tampil ke depan untuk membantu pasukan petugas khas meneliti semua fakta berkaitan.

Rabu lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada 1990-an.

Pejabat Perdana Menteri berkata pasukan petugas khas itu akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk individu yang dihormati dan berpengalaman dalam bidang tertentu.

Menurut kenyataan itu, tindakan kerajaan itu membuktikan komitmen dan ketelusan kerajaan bagi memastikan urusan Bank Negara pada ketika itu dijalankan mengikut urus tadbir yang ditetapkan.

Azalina berkata Lim sebagai seorang ahli Parlimen yang berpengalaman seharusnya menyokong usaha kerajaan dan bukannya mempolitikkan penubuhan pasukan petugas khas itu.

Katanya, Lim perlu konsisten dengan pendiriannya dalam isu itu kerana sikap berubah-ubah prinsip akan dinilai penyokong DAP.

“Keputusan Kabinet menubuhkan ‘task force’ itu membuktikan yang kerajaan sentiasa terbuka dalam semua perkara yang menyentuh kepentingan negara.

“Kerajaan akan tetap berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang dalam menyiasat apa-apa perkara untuk memastikan tiada sebarang penyalahgunaan dan penyelewengan dalam tadbir urus negara.

“Kerajaan BN juga sentiasa bersandarkan kepada prinsip keadilan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya.