Rosmah bimbang kes jenayah seksual libat kanak-kanak meningkat

Seri-Perdana,-Rosmah-Mansor,-jenayah-kanak-kanak.PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor melahirkan rasa terkejut dan bimbang dengan peningkatan statistik jenayah seksual melibatkkan kanak-kanak di negara ini serta menggesa usaha memberi kesedaran kepada masyarakat dipertingkatkan.

Menurut beliau, keluarga atau ibu bapa perlu menjadi institusi utama yang perlu bertanggungjawab mengawal aktiviti anak-anak dan pergaulan mereka.

Beliau berkata demikian semasa sidang media majlis pelancaran “Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!!”, di Seri Perdana, hari ini.

“Peranan keluarga adalah amat mustahak. Keluarga seharusnya mengetahui dengan siapa anak berkawan atau membuat perhubungan terutamanya menerusi telefon pintar.

“Jangan abaikan tanggungjawab kita sebagai ibu bapa dan jangan serahkan kepada orang lain untuk menjaga anak-anak kita. Ibu bapa perlu menjadi institusi pertama mengetahui hal ehwal anak,” katanya.

 

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia sehingga Oktober 2016, sebanyak 12,025 kes melibatkan pelbagai jenayah seksual kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dan angka tersebut menunjukkan peningkatan setiap tahun.

Rosmah juga melahirkan harapan penganjuran seminar ini akan dapat menggalakkan penglibatan bersama semua pihak berkepentingan menangani dan menghentikan jenayah seksual kanak-kanak.

“Adalah menjadi harapan ia juga akan membantu kerajaan membawa perubahan legislatif mencegah jenayah seksual kanak-kanak dan meningkatkan kesedaran masyarakat sebelum Rang Undang-Undang Jenayah Seksual Kanak-Kanak diluluskan,” katanya.

Seminar tersebut dijangka berlangsung pada 13 hingga 14 Mac 2017 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan jumlah sasaran peserta seramai 2,000 orang.

Antara pemimpin menghadiri majlis perasmian itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

 

Jangan biar anak merayau tengah malam, pesan Rosmah