‘Moga kematian S Balamurugan menjadi yang terakhir’

steven-thiru-jail

KUALA LUMPUR: Badan Peguam hari ini mengulangi seruan menggesa Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan susulan kematian terbaharu dalam tahanan polis.

Presiden Steven Thiru berkata IPCMC merupakan langkah pertama yang penting, dan satu-satunya cara untuk mengenalpasti, mengasingkan dan mempertanggungjawab anggota yang terlibat dengan salah laku dan jenayah.

“Moga kematian S Balamurugan dalam tahanan polis menjadi yang terakhir. Tubuhkan IPCMC sekarang,” katanya dalam keterangan.

Badan Peguam terkejut dengan hasil bedah siasat kedua S Balamurugan, 44, oleh Hospital Kuala Lumpur yang dikeluarkan pada 18 Februari lepas.

Laporan mengesahkan punca kematian akibat penyakit arteri koronasi dengan pelbegai kecederaan akibat hentakan tumpul (coronary artery disease with multiple blunt force injuries).

Autopsi pertama dijalankan Hospital Klang yang melaporkan beliau meninggal dunia kerana masalah jantung.

Balamurugan ditangkap pada 6 Februari dan ditemui mati di ibu pejabat polis daerah Klang Utara pada 8 Februari.

Thiru berkata menurut laporan polis yang dibuat peguam, pada pendengaran reman 7 Februari, Balamurugan dalam keadaan lemah dan tidak boleh berjalan, mengalami kecederaan pada muka, berdarah dari hidung dan mulut, dan muntah darah. Peguam juga berkata Balamurugan juga diserang polis.

“Majistret, apabila melihat keadaan Balamurugan, menyoal pegawai penyiasat, tetapi tiada jawapan diberikan. Majistret kemudian menolak permohonan reman dan memerintahkan pegawai penyiasat membawa Balamurugan ke hospital dengan segera.”

Bagaimanapun, Balamurugan tidak dibawa untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Thiru berkata: “Pegawai penyiasat nampaknya secara sedar melanggar perintah mahkamah. Adalah mengejutkan tiada penjelasan mengenai mengapa Balamurugan tidak dibebaskan atau dibawa untuk mendapatkan rawatan.

“Pelanggaran perintah itu menghina mahkamah dan tidak mengambil kira kebajikan orang dalam tahanan polis, yang nyata memerlukan rawatan perubatan.”

“Salah laku itu perlu dihukum mahkamah, agar tiada pegawai polis secara terang-terangan mengabaikan perintah mahkamah. Polis tidak boleh dibenarkan untuk berkelakuan seperti mereka mengatasi undang-undang.”

Mengenai laporan 10 anggota ibu pejabat polis daerah Klang Utara yang disiasat atas kematian Balamurugan, memandangkan hasil laporan autopsi kedua itu, Badan Peguam terkejut tiada tangkapan dan tindakan gantung kerja diambil.

Thiru berkata anggota polis yang disyaki terbabit dalam serangan terhadap Balamurugan tidak boleh diberi layanan istimewa atau dilindungi. Kebenaran mesti dibongkar dan pelaku dibawa ke muka pengadilan, tambahnya.

Beliau berkata: “Adalah membimbangkan tahanan polis yang mati dalam keadaan meragukan terus berlaku, walaupun perkara itu diketengahkan kepada pihak polis dan kerajaan berulang kali.

“Kita tidak boleh benarkan keadaan ini berterusan dan orang yang zalim beroperasi dalam mana-mana agensi penguatkuasaan secara sewenang-wenangnya tanpa dihentikan.

“Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis perlu ditubuhkan sebagai agensi bebas untuk menerima dan menyiasat aduan mengenai salah laku dan penyalahgunaan kuasa polis.

“Badan Peguam menggesa IPCMC ditubuhkan, sejak ia mula dicadangkan oleh Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis dalam laporannya pada 2005. Kami ulang gesaan ini.”