Suaram kecam penahanan semula remaja terlibat kes Balamurugan

sevan-suaram

PETALING JAYA: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membidas penahanan semua 2 remaja berkaitan kes S Balamurugan, menyifatkan lanjutan penahanan itu sebagai cubaan menutup mulut kemungkinan saksi kematian Balamurugan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata lanjutan reman juga menggambarkan polis sebagai sebuah institusi yang “membenarkan keganasan dalam tahanan dan melindungi orang yang membunuh tahanan”.

Remaja berkenaan, Kanapathy Perathapan dan Ang Kian Kok, kedua-duanya berusia 16 tahun itu ditahan bersama Balamurugan pada 6 Feb.
Pada 8 Feb, Balamurugan ditemui mati di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Menurut peguamnya, pada pendengaran reman pada 7 Feb, Balamurugan dalam lemah dan tidak dapat berjalan, mempunyai kesan lebam di mukanya, keluar darah dari hidung dan mulutnya serta muntah darah. Peguamnya berkata Balamurugan diserang polis.

Adik Balamurugan, Balraj, berkata 2 suspek lain yang ditahan bersama Balamurugan, memberitahu peguam keluarga itu mereka dipukul oleh pihak polis.

Hari ini, Doraisamy membidas amalan penahanan semula dan reman lanjutan (chain remand), yang disifatkan sebagai “penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis” dan pelanggaran hak asasi manusia di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia.

Beliau berkata tahanan berulang kali memberitahu keluarga dan majistret yang mereka dipukul dan diseksa dalam tahanan.

Beliau berkata mahkamah perlu mengambil kira kebajikan kanak-kanak dan unsur pelanggaran hak asasi manusia semasa dalam tahanan polis apabila memberikan perintah reman.

“Demi kepentingan kebajikan 2 remaja yang ditahan, tidak ada perintah reman lagi patut diberikan oleh Mahkamah Majistret.”

Doraisamy berkata, “Tidak ada sebab sah dan justifikasi munasabah bagi penahanan lanjut Kanapathy dan Ang kecuali untuk menghukum dan menutup mulut mereka yang berpotensi menyaksikan kekejaman dikenakan ke atas Balamurugan.”

Beliau berkata rawatan Kanapathy dan Ang menandakan kegagalan dan pengkhianatan terhadap komitmen dan obligasi kerajaan untuk melindungi hak kanak-kanak, seperti termaktub dalam Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak.

Doraisamy menggesa pembebasan segera remaja dan menggantung pegawai yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa itu.

Beliau juga menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyiasat sebarang salah laku polis.

‘Moga kematian S Balamurugan menjadi yang terakhir’