Takut dilihat lemah, ahli politik tiada ‘azam’ mansuhkan hukuman mati

Eric-Paulsen_jail_law_600_new

PETALING JAYA: Peguam Eric Paulsen bersetuju dengan cadangan agar kerajaan segera memansuhkan hukuman mati.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) itu berkata banyak kajian menunjukkan tiada bukti hukuman mati mengurangkan kadar jenayah.

“Lebih dari 100 negara di dunia ini, majoritinya 70%, telah pun memansuhkan atau tidak lagi menggunakannya.

“Di Malaysia pula saya rasa masalahnya ialah pihak kerajaan, ahli politik tiada azam politik. Sebab kerajaan dan ahli politik mahu dilihat tidak bertolak ansur dengan jenayah.

“Sekiranya mereka katakan hukuman gantung harus dimansuhkan, mereka akan dilihat lemah dalam menangani jenayah yang berat,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Semalam, DAP menggesa kerajaan mempercepatkan usaha memansuhkan hukuman mati. Naib Pengerusi M Kula Segaran berkata pandangan mengatakan hukuman mati mengurangkan kes pembunuhan adalah palsu.

DAP membuat gesaan itu selepas hukuman mati 2 beradik, Rames dan Suthar Batumalai, semalam ditangguhkan pada saat akhir.

Ramesh, 45, dan Suthar, 40, disabit kesalahan membunuh di Port Dickson yang berlaku 12 tahun lalu.

Menurut Eric, sistem perundangan Malaysia tidak memberikan banyak pilihan kepada hakim dalam kes kesalahan yang membawa hukuman mati.

“Tapi sekiranya dilihat latar belakang orang itu, mungkin dia masih lagi muda, wanita, ibu ataupun terpedaya, sekiranya didapati bersalah…hakim tiada budi bicara untuk jatuhkan hukuman penjara sebab undang-undang di negara ini adalah amat keras sebab mandatori. Harus menjatuhkan hukuman gantung,” katanya.

Bagi Eric, cara berkesan mencegah jenayah berat adalah melalui pemerkasaan polis.

“Beri mereka kemudahan dan lain-lain, bukannya hanya bergantung kepada hukuman gantung,” katanya.

Beliau menambah kerajaan harus mengambil kira kajian pendapat popular dalam keputusannya berhubung perkara ini, kerana orang ramai selama ini beranggapan hukuman gantung boleh kurangkan kadar jenayah.

“Sebab masyarakat dan orang biasa mungkin tidak tahu,” katanya.

Selain itu, beliau berpandangan hukuman mati wajar digantikan dengan tempoh pemenjaraan yang panjang antara 15 hingga 20 tahun.

“Saya rasa itu dah lebih daripada cukup,” katanya.