Lewat serah rumah tanggungjawab pemaju, kata persatuan

rehda-constructionPETALING JAYA: Pemaju perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kelewatan untuk projek mereka, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

Bendahari Rehda, Muztaza Mohamad berkata, sebaik sahaja pembeli dan pemaju menandatangani perjanjian, tanggungjawab terletak di pihak pemaju untuk menyiapkan rumah.

“Sebarang kelewatan bukan salah pembeli,” katanya selepas sebuah forum hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi semalam mengetepikan perintah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang memberi tempoh lanjutan 12 bulan kepada pemaju bagi menyiapkan projeknya.

Muztaza berkata, “undang-undang adalah undang-undang” dan menggesa pemaju membuat perancangan lebih awal bagi memastikan rumah boleh disiapkan mengikut jadual, termasuk hanya menjual hartanah ketika ia 50% siap.

“Anda mesti merancang dari hari pertama projek itu,” katanya.

Semalam, Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh 104 pembeli rumah berkata, keputusan menteri yang bergantung kepada peraturan untuk memberi tempoh lanjutan itu bertentangan dengan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan).

BHL Construction Sdn Bhd terbabit dalam pembinaan sebuah kondominium di Jalan Kuchai Lama, di mana 104 plaintif memeterai perjanjian jual beli dengan mereka.

Satu daripada syarat perjanjian ialah pemaju menyerahkan pemilikan kosong dalam tempoh 36 bulan atau bertanggungjawab membayar penalti bagi kelewatan penyerahan kepada pembeli.

Pemaju gagal menyiapkan dan menyerahkan rumah itu kepada 104 pembeli dan menulis kepada Pengawal Perumahan di bawah kementerian itu untuk melanjutkan masa. Rayuan tersebut ditolak.

Pemaju kemudiannya mengemukakan rayuan kepada menteri pada 17 Oktober 2015 yang membenarkan lanjutan 12 bulan.

Keputusan itu membolehkan pemaju menyerahkan milikan kosong kepada pembeli daripada 36 bulan kepada 48 bulan.

Pembeli yang terkilan itu mencari penyelesaian undang-undang di mahkamah tahun lepas.

Di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966, pemaju perlu menyerahkan kunci kepada pembeli rumah dalam tempoh 24 hingga 36 bulan daripada tarikh perjanjian jual beli dimeterai.

Jika pemaju gagal menyiapkan dan menyerahkan rumah dalam tempoh ditetapkan, pemaju perlu membayar 10% ganti rugi jumlah tertentu (LAD) setahun daripada harga belian.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/02/27/mahkamah-putus-tempoh-lanjutan-diberi-menteri-tidak-sah/