Sidang khas Perkasa tolak syor jadikan Rukun Negara mukadimah Perlembagaan

rukunnegara-perkasaKUALA LUMPUR: Sidang meja bulat anjuran Perkasa hari ini menolak sebarang usaha yang mahu menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan dengan mengemukakan 5 alasan.

Kenyataan dikeluarkan di akhir sidang meja bulat berkata, usaha itu ditolak kerana sejarah dan asas penggubalan Perlembagaan Negara sangat berbeza dengan sejarah dan asas kewujudan Rukun Negara.

“Perlembagaan Negara digubal adalah bertujuan untuk kemerdekaan dan kedaulatan negara manakala Rukun Negara diwujudkan adalah bertujuan untuk menangani masalah perpaduan selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969,” kata pengerusi sidang, ahli Dewan Tertinggi Perkasa Azmi Rais membacakan kenyataan sidang.

Katanya, jika Rukun Negara dijadikan mukadimah Perlembagaan Negara, ia akan menimbulkan pentafsiran baru yang akan menjejaskan hak istimewa orang Melayu di bawah Perkara 153 Perlembagaan dan juga kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di bawah Perkara 3, 11 dan serta elemen watan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“(Ketiga) sekiranya Rukun Negara dijadikan mukadimah Perlembagaan Negara, ia mungkin dianggap sebagai kepala atau pemandu kepada Perlembagaan Negara, yang akhirnya akan mengatasi kandungan-kandungan substantif Perlembagaan, serta mengikat pihak Mahkamah dalam pentafsiran undang-undang,” kata kenyataan itu.

Alasan ke-4, menurut kenyataan itu, jika Rukun Negara dijadikan mukadimah Perlembagaan Negara, ia akan mendatangkan elemen-elemen baharu yang mengelirukan atau tidak jelas dalam pentafsiran undang-undang, berdasarkan prinsip-prinsip Rukun Negara yang sebenarnya bersifat am serta diasaskan asalnya bagi tujuan politik.

Ia menambah faktor yang menyebabkan penggubalan Perlembagaan Negara juga tidak sama dengan faktor-faktor yang menyebabkan Rukun Negara diperkenalkan, contohnya seperti federalisme dan kuasa raja-raja.

“Asas kandungan Perlembagaan sudah lengkap dan tidak perlu dipinda lagi,” jelas kenyatan itu.

Sungguhpun demikian, menurut kenyataan itu, sidang meja bulat menganggap bahawa Perlembagaan Persekutun dan Rukun Negara sewajarnya diperkasakan demi perpaduan kaum dan kesejahteraan negara.

Menurut kenyataan itu, sidang meja bulat hari ini, yang bertajuk “Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan Negara?” anjuran Biro Hal Ehwal Undang-Undang, Perlembagaan, Tanah Rezab Melayu dan Tanah Adat Perkasa, dihadiri oleh 31 tokoh terdiri daripada para profesional perundangan dan pengamal undang-undang serta ahli akademik perundangan.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPIM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, pensyarah undang-undang Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Datuk Prof Hussin Mohamad Abd Rahman, dan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Shamrahayu Abdul Aziz diundang sebagai panel.

Pada sidang media selepas program berakhir, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata resolusi tersebut akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-raja Melayu dan perdana menteri.

“Jika ingin menjadikannya sebagai mukadimah, kita akan tentang habis-habisan. Ada cara lain untuk pupuk perpaduan,” katanya.

Bekas menteri Tan Sri Rais Yatim yang turut berucap berkata usaha memperkasakan Rukun Negara lebih baik dibuat melalui pendidikan.

“Kita cadangkan Rukun Negara diambil sebagai piagam pendidikan, diterjemah dalam pelajaran,” katanya.

Shamrahayu bersetuju dengan cadangan itu, dan berharap isu ini akan membuatkan lebih ramai menghayati dan memahami Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.