Warisan: Umno gelisah hilang sokongan di Sabah

aziz-warisan

PETALING JAYA: Serangan bertali arus terhadap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Mohd Shafie Apdal menunjukkan Umno mula sedar mereka kehilangan sokongan di negeri “deposit tetap”, Sabah.

Ini kerana partinya mendapat sambutan luar biasa daripada akar umbi dalam tempoh singkat sejak ditubuhkan, kata Ketua Pemuda Warisan Mohd Azis Jamman.

Beliau juga mendakwa Warisan berjaya menarik sokongan puluhan ribu penyokong Barisan Nasional (BN).

“Justeru, amat ketara kegusaran mereka ini melihat kepada isu yang sudah tandus dihidupkan semula seperti tuduhan bahawa Shafie gagal membangunkan Sabah semasa menjawat menteri kemajuan luar bandar dan wilayah (KKLW),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun perbuatan pemimpin BN hanya menonjolkan kegagalan kerajaan BN di Sabah, diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, kata Azis.

“Ini juga menunjukkan bahawa tahap pengetahuan pemimpin Umno dan beberapa menteri kabinet ini amat cetek dalam soal tadbir urus sesebuah kementerian.”

Beliau menjawab kenyataan pimpinan Umno Sabah yang berkata KKLW di bawah pentadbiran Shafie gagal menyelesaikan masalah prasarana asas di pedalaman Sabah, walaupun kementerian terima RM20 bilion untuk tempoh 5 tahun.

Azis berkata peruntukan itu bukan sahaja untuk memperbaiki bekalan air, elektrik dan jalan raya, tetapi juga biasiswa, pinjaman melalui Mara dan bantuan rumah.

Beliau berkata negeri yang besar seperi Sabah memerlukan peruntukan yang besar. Biarpun peruntukan RM20 bilion dibelanjakan untuk membangunkan negeri, jumlah itu masih belum mencukupi untuk membasmi kemiskinan.

“Apa lagi menaiktaraf semua infrastruktur. Sedangkan projek pembinaan laluan keretapi dari Johor ke Kuala Lumpur menelan belanja RM20 billion.

“Dalam sidang Parlimen dahulu, Jainab akui bajet KKLW sebanyak RM20 billion itu dibahagi-bahagikan dan RM13 billion diperuntukan kepada Sabah dan Sarawak.”

Beliau merujuk kepada Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Jainab Ahmad Ayid.

“Justeru, RM13 billion hanya utk Sabah dan Sarawak iaitu 2 negeri terbesar. Agak-agak bajet RM13 billion tu cukup untuk menyelesaikan masalah jalan dan air di Sabah yang jauh ketinggalan?”