Debat Nazri-Mahathir tak ada kaitan dengan kerajaan, kata Johari

johari-mahathir-nazri-debatKUALA LUMPUR: Perdebatan yang ditunggu-tunggu antara Datuk Seri Nazri Aziz dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu 1MDB tidak ada kena mengena dengan kerajaan, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menteri kewangan kedua ketika ditanya mengenai debat itu pada program kemasyarakatan di Jelatek pagi tadi berkata beliau tidak mahu mengulas kerana kementeriannya sudah membahaskan isu itu di Parlimen.

Beliau berkata laporan sudah pun disediakan oleh ketua audit negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mengenai 1MDB, dan ia sudah pun dibincangkan secara meluas dengan soalan dijawab di Parlimen.

“Jika mereka hendak berbahas, ia di luar bidang kuasa saya, ia bahas peribadi dan tidak ada kaitan dengan kerajaan,” katanya.

Awal minggu ini, Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia mencabar menteri pelancongan dan kebudayaan untuk berbahas mengenai beberapa isu termasuk 1MDB, skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mereka bersetuju untuk berdebat di kawasan Nazri di Padang Rengas, Perak.

Perbualan mengenai skandal BMF hidup kembali selepas Agensi Perisikan Pusat AS mendedahkan dokumen yang mengaitkan pentadbiran Dr Mahathir kepada kerugian AS$1 bilion pada 1980an.

Sementara itu, tahun lepas, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salahlaku berkenaan deposit RM2.6 bilion, dan berkata beliau berpuas hati wang itu merupakan derma peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Nazri sebelum ini mencabar Dr Mahathir supaya bertanding menentangnya di Padang Rengas pada pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir kemudian mencabar semula Nazri bertanding menentangnya di kerusi Parlimen Langkawi. Sejak itu bekas perdana menteri itu berkata beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya.