Elak terlalu bergantung pada China, kata bekas pemimpin tentera

arshad-raji-china2KUALA LUMPUR: Datuk Mohd Arshad Raji, pesara brigedier jeneral berkata veteran tentera gusar Malaysia mungkin akan jadi seperti Cambodia, iaitu terlalu bergantung pada China.

Beliau yang mengetuai kontinjen Malaysia bagi pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Cambodia dari 1992 hingga 1993 berkata, China datang ke negara itu dengan cara besar-besaran selepas berakhirnya perang saudara, dan membina jalan serta jambatan.

Katanya, pada masa ini kebanyakan peralatan ketenteraan Cambodia datang dari China.

“Di situlah wang sebenarnya,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata China akan “beri anda sedikit sekarang, tetapi tidak ada benda percuma”.

Bagaimanapun, Arshad yang kali terakhir berkhidmat sebagai ketua staf am Markas Medan Tentera Darat itu berkata beliau tidak menentang China, tetapi bimbang dengan pelaburan asing yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Saya bukan anti kerajaan. Saya hanya mahu kerajaan melaksanakan langkah berhati-hati dalam membuat keputusan supaya tidak ada kuasa asing boleh ada terlalu banyak pengaruh di negara ini,” katanya.

Katanya, beliau sangat bimbang dengan projek Melaka Gateway bernilai RM43 bilion yang dibangunkan secara bersama oleh syarikat Malaysia KAJ Developments dan PowerChina International dari China.

Beliau mempersoalkan sama ada Malaysia akan ada kawalan penuh terhadap pelabuhan itu dan membuat keputusan akhir terhadap rekaan dan pengurusannya.

“Melaka benar-benar perlukan pelabuhan sebesar itu? Kita tidak mahu ada situasi di mana pelabuhan itu digunakan untuk tujuan lain,” katanya.

Baru-baru ini, Straits Times Singapura memetik analisis dari S Rajaratnam School of International Studies sebagai berkata ada elemen strategik dalam projek Melaka Gateway.

“Ia selalunya bermula dengan kehadiran ekonomi, di mana kemudiannya boleh dibangunkan menjadi tentera laut, kerana China akan bertanggungjawab untuk memastikan laluan selamat untuk kapal dagangnya,” kata penganalisis, Johan Saravanamuttu.

Arshad berkata itu sebabnya mengapa penting untuk projek besar, terutama membabitkan orang asing dan kesan terhadap keselamatan negara, perlu dibahaskan di Parlimen terlebih dulu.

“Semua yang kita buat perlu untuk kepentingan negara. Itu sebabnya kita tidak boleh sesuka hati buat persetujuan yang mungkin menjejaskan kita. Saya sangat berharap kerajaan boleh kaji semua ini dengan lebih berhati-hati,” katanya.