Mengapa sukar jadikan ‘rogol dalam perkahwinan’ sebagai jenayah

teresa-kok-kawinrogolPETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata sukar untuk frasa “rogol dalam perkahwinan” digunakan sebagai terma undang-undang dan untuk dihujahkan di mahkamah.

Katanya, kali pertama beliau tahu mengenai kesukaran itu ialah ketika menjadi ahli Jawatankuasa Pemilih Semakan Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah.

“Kami dapati agak sukar meletakkan terma rogol dalam perkahwinan dalam undang-undang. Itu sebabnya ia menyatakan tindakan suami mencederakan isterinya dengan tujuan melakukan seks adalah kesalahan di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan,” katanya.

Kok berkata sukar untuk membuktikan rogol dalam perkahwinan bila ia berlaku.

“Bagaimana hendak membuktikan ia rogol dalam perkahwinan? Sangat sukar untuk menggambarkan dan berhujah di mahkamah dan sebab itu kami letak ia di bawah 375A di mana hukuman penjara boleh dikenakan hingga 5 tahun.

“Secara tidak langsung ia meliputi insiden keganasan termasuk rogol dalam perkahwinan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada gesaan Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) supaya rogol dalam perkahwinan dikategorikan sebagai jenayah.

Katanya, menggunakan terma “rogol dalam perkahwinan” menjadi isu atas beberapa sebab.

“Jika anda hendak terjemahkan ia ke bahasa Melayu contohnya, anda perlu berdepan dengan sarjana Islam dan jelaskan kepada mereka apa sebenarnya maksud rogol dalam perkahwinan,” katanya.

Kok berkata perkara penting dalam isu itu dalam kes di mana perkataan “rogol dalam perkahwinan” digunakan ialah kesukaran untuk wanita menceraikan suami mereka.

Katanya, ia sesuatu yang perlu ditangani.

“Bila anda kata suami anda rogol anda, secara asasnya ia bermakna perkahwinan anda sudah berakhir. Tetapi ada sebab tertentu yang menyukarkan untuk menceraikan suami anda.

“Dalam banyak kes membabitkan mahkamah syariah, ramai ibu akan hilang hak jagaan anak jika mereka menceraikan suami dan itu menyebabkan ramai wanita memutuskan lebih baik hidup dalam ketakutan serta tekanan di bawah suami ganas berbanding hilang anak,” katanya.

Kok berkata lebih baik untuk wanita jika proses perdamaian dibenarkan untuk diadakan di rumah mangsa.

“Ini sangat berkuasa dan sesuatu yang perlu dilihat kerajaan,” katanya.

Kok yang juga setiausaha kebangsaan DAP Wanita turut memuji usaha NGO hak asasi wanita dan media kerana membangkitkan isu keganasan rumah tangga.

“Saya gembira WAO terus membangkitkan isu dihadapi wanita dan FMT memberi liputan luas mengenainya.

“Media dan NGO perlu terus bekerjasama dan menonjolkan masalah dihadapi wanita kerana masih ada banyak kes keganasan rumah tangga dan penderaan,” katanya.

Dalam laporan kajian kes WAO bertajuk “Perspektif terhadap Keganasan Rumah Tangga” yang dikeluarkan hari ini, NGO itu berkata rogol – sama ada ia berlaku dalam perkahwinan atau tidak – adalah jenayah di bawah standard antarabangsa.

Laporan itu menyatakan jawatankuasa PBB Cedaw meminta Putrajaya menjadikan rogol dalam perkahwinan sebagai jenayah sejak 2006.

Rogol dalam perkahwinan itu jenayah, kata WAO