All England: Chong Wei mahu pertahan gelaran tahun depan

chong-wei

PETALING JAYA: Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang menambah koleksi kejuaraan Kejohanan Badminton All England buat kali keempat malam tadi berkata, beliau mahu kembali beraksi tahun depan untuk mempertahankan kejuaraan.

“Terima kasih kepada semua peminat, ini kali pertama saya melihat begitu ramai orang (penyokong) di final. All England adalah kejohanan kegemaran saya.

“Ya (saya mahu beraksi di All England tahun depan),” kata Chong Wei, dipetik Bernama, selepas tamat perlawanan di Barclaycard Arena, Birmingham.

Penyokong Malaysia dan tempatan juga tidak putus-putus memberi sokongan kepada Chong Wei sehingga tamat perlawanan.

Sepanjang karier Chong Wei dalam arena badminton, beliau sebelum ini memenangi Kejuaraan All England pada 2011, 2012 dan 2014.

Chong Wei sebelum ini pernah menyuarakan hasratnya kemungkinan beraksi di All England buat kali terakhir pada tahun ini.

Jaguh perseorangan negara itu tidak berdepan masalah untuk menundukkan pemain muda dari China, Shi Yuqi dengan 21-12, 21-10 dalam masa 45 minit.

Setelah berehat hampir tiga bulan dan mengalami kecederaan lutut bulan lepas, Chong Wei membuka tirai tahun ini dengan penuh bergaya apabila menjuarai kejohanan berprestij itu.