Tak semua wakil rakyat BN Sarawak tolak RUU kami, kata PAS

JoffriPETALING JAYA: PAS mendakwa tidak semua pemimpin Islam dari Barisan Nasional (BN) di Sarawak menolak usul syariah PAS, selepas DAP mempersoalkan sama ada PAS turut menganggap mereka “anti-Islam” kerana menentang rang undang-undang (RUU) persendirian yang dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata demikian mengulas ucapan Lim Kit Siang di Dewan Rakyat semalam, yang merujuk kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg mengulangi pendirian ketua menteri terdahulu, Tan Sri Adenan Satem, untuk menolak usul Hadi.

“Tidak semuanya menolak,” kata Jofri kepada FMT. “Saya lihat DAP cuba mainkan api perkauman, sebab mereka ini kadang-kadang nak provok.”

Semalam, Abang Johari berkata BN Sarawak mengemukakan cadangan kepada Putrajaya berhubung usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965, atau Akta 355, yang dibentangkan Hadi.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut.

Jofri yakin keputusan BN Sarawak sebelum ini untuk tidak menyokong usul Hadi itu belum muktamad.

“Masih ada masa lagi dan kita masih menunggu keputusan Abang Johari untuk menyokong usul Hadi itu,” katanya kepada FMT.

“Setakat ini tak ada lagi keputusan daripada Abang Johari lagi. Kita masih tunggu keputusan,” katanya.

Semalam, pemimpin utama DAP Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Hadi akan turut menyifatkan pemimpin Islam Sarawak yang menentang usul PAS sebagai “anti-Islam”, label yang kerap ditujukan ke atas DAP kerana menentang usul Hadi.

Pada 23 November, 2016, Adenan yang meninggal dunia Januari lalu mengarahkan semua ahli Parlimen BN negeri itu, termasuk yang beragama Islam menolak RUU 355.

Jofri berkata pihaknya akan menunggu Akta 355 itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Pindaan yang dicadangkan usul Hadi itu mahu, antara lain, meningkatkan hukuman maksimum terhadap pesalah syariah daripada 3 tahun penjara kepada 30 tahun, denda RM5,000 sehingga RM100,000 dan 6 sebatan sehingga 100 sebatan.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/03/15/kit-siang-persoal-usul-hadi-pemimpin-sarawak-juga-anti-islam/