Debat: TPM sudah beri ‘lampu hijau’, kata Nazri

nur-jazlan-mahathir-nazriPETALING JAYA: Debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz dilihat semakin menjadi realiti apabila timbalan perdana menteri sendiri dikatakan memberi “lampu hijau” kepada acara itu.

Perkara demikian dimaklumkan sendiri oleh Nazri, selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini berkata debat antara 2 ahli politik itu, yang akan diadakan di Kuala Kangsar, Perak pada Sabtu, akan dibenarkan.

Menurut Nazri, Datuk Seri Zahid Hamidi, yang juga menteri dalam negeri, beri jaminan akan meluluskan permohonan permit daripada pihak penganjur.

“Ya betul. Baguslah sebab saya sudah jumpa dengan TPM (Zahid) pada Khamis lepas di Parlimen.

“Jadi dia tahu tentang perbahasan ini dan dia kata dia akan bagi jaminan bahawa permit akan diberi. Sebab itu saya tidak bimbang sangat, dia sudah beritahu awal-awal akan bagi permit,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Nur Jazlan dipetik Bernama berkata, pihaknya sudah menerima permohonan permit daripada penganjur. “Sudah dibuat (permohonan) dan kita akan benarkan. Malah, saya juga menyokong.”

Debat yang dijadual diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah hebat diperkatakan akhir-akhir ini kerana akan menyentuh isu berbangkit dalam negara.

Nazri, yang juga ahli Parlimen Padang Rengas, dilaporkan sudah mengesahkan penyertaan.