Gentlemen’s agreement rebut kerusi presiden BAM wujud, kata Rosmah

rosmah

PETALING JAYA: Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datin Seri Rosmah Mansor mengakui memang wujud ‘gentlemen’s agreement’ membabitkan persaingan jawatan presiden badan indk itu.

Pemilihan jawatan BAM akan berlangsung akhir bulan depan.

Bagaimanapun isteri Perdana Menteri itu berkata, terpulang kepada pihak yang terbabit untuk memenuhi perjanjian berkenaan.

“Gentlemen’s agreement itu memang ada tetapi sama ada pihak-pihak tertentu ingin memenuhinya, itu terpulang kepada mereka.”

“Pada saya, itu saya serahkan kepada kesedaran mereka sendiri,” kata beliau dipetik BH hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff mengenai ‘gentlemen’s agreement’ yang dibuat antara pemimpin tertinggi badan persatuan itu.

Selain menyatakan pendirian untuk tidak mempertahankan jawatan presiden, Tengku Mahaleel turut memaklumkan ‘gentlemen’s agreement’ itu adalah memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria untuk menggantikan tempatnya.

Bagaimanapun, Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid yang turut berminat menduduki kerusi nombor satu badan induk itu menafikan beliau terbabit dengan ‘gentlemen’s agreement’ berkenaan.

Mengulas mengenai pemilihan pucuk pimpinan BAM hujung bulan depan, Rosmah berkata:

“Secara peribadi saya merasakan sesiapa yang inginkan jawatan, mereka haruslah mengambil tanggungjawab sepenuhnya mengenai sukan berkenaan dan bukan sekadar menduduki jawatan.”

“Perlu memberi sepenuh komitmen, dedikasi dan juga sepenuh rasa tanggungjawab untuk memajukan sukan badminton.”

Justeru, beliau berharap sesiapa yang menduduki kerusi presiden bukan hanya duduk untuk pergi ke luar negara dan bila mencapai kemenangan “baru nampak muka.”

“Bagi saya mereka seharusnya bersama pemain, memahami emosi mereka.

“Sebagai presiden atau pegawai dalam BAM, mereka seharusnya mendampingi pemain seperti anak atau adik.”