Hudud tidak mungkin dilaksana di Malaysia waktu terdekat

RagunathKUALA LUMPUR: Di sebalik polemik mengenai rang undang-undang persendirian yang hendak dibawa oleh pemimpin PAS, seorang bekas presiden Majlis Peguam Malaysia percaya undang-undang hudud tidak akan diperkenalkan di Malaysia dalam masa terdekat.

Ragunath Kesavan yang mengepalai majlis itu dari 2009 hingga 2011 berkata, undang-undang hudud jika diperkenalkan ia akan berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan dengan itu akan menceroboh bidang kuasa Raja-raja Melayu sebagai ketua hal ehwal Islam di negeri masing-masing.

Malah menurut beliau, undang-undang yang mengawal selia kesalahan tertentu di bawah Kanun Keseksaan atau Kanun Tatacara Jenayah tidak boleh dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri.

“Jadi, anda boleh mempunyai hudud di Kelantan, tetapi anda tidak boleh mengenakan hukuman kerana mencuri atau rompakan, sebagai contoh.”

Beliau berkata demikian pada forum “Malaysia: Sekular atau Beragama? Apakah Masa Depan Kita? yang diadakan di Gereja Methodist Wesley di sini, semalam.

“Saya masih ingat, pernah ada cadangan untuk memperkenalkan Mahkamah Syariah Persekutuan. Bunyinya menarik dan progresif.

“Kemudian Peguam Negara juga mencadangkan kita perlu ada badan pusat mengawal selia peguam syariah seperti Majlis Peguam Malaysia. Tetapi Raja-raja (Melayu) menentang.

“Ini kerana berbuat demikian akan mengambil kuasa mereka. Dari satu segi, itulah sebabnya hudud tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Ia akan mengambil kuasa negeri.”

Menurut Ragunath, kuasa ke atas hal ehwal Islam adalah kuasa tunggal yang ada pada Sultan-sultan, yang membolehkan mereka untuk mengawal negeri ke tahap tertentu.

“Untuk berlaku adil kepada mereka (Sultan-sultan), kuasa itu diberikan kepada mereka sebagai pemerintah, baginda adalah ketua agama.

“Tiada yang lebih berkuasa daripada itu. Baginda melantik mufti, ketua hakim (Mahkamah Syariah), segala-galanya yang melibatkan hal ehwal Islam di peringkat negeri.”

Mengenai usaha Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), Ragunath berkata, undang-undang itu sendiri tidak mengikut perlembagaan.

Ini jelas beliau, hal-hal berkaitan Islam berada di bawah kuasa negeri, di mana akta itu secara jelas mengehadkan kuasa negeri, terutama hak kerajaan untuk membuat keputusan mengenai hukuman bagi kesalahan syariah.

“Pada tahun 1965, ini adalah pandangan saya sendiri, terdapat firasat, maka ia berada dalam Perlembagaan Persekutuan, kuasa negeri sangat terhad.

“Tanpa Akta (355) 1965, seolah-olah kerajaan boleh mengambil tindakan, tetapi apa jenis tindakan, sebenarnya tidak ditetapkan.

“Tetapi adakah Parlimen mempunyai kuasa untuk memberitahu negeri apa yang boleh atau tidak boleh lakukan? Pandangan saya, Akta 1965 adalah tidak berperlembagaan.”

Pada tahun 2015, kerajaan Kelantan pimpinan PAS meluluskan pindaan Enakmen Syariah untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu. Tetapi ia tidak dapat menguatkuasakan enakmen itu disebabkan batasan yang ditetapkan oleh Akta 355.

Ini membawa kepada Hadi mengemukakan usul di Dewan Rakyat untuk meminda Akta 355. Pada asalnya, cadangan pindaan itu memfokus tindakan mengeluarkan kesemua sekatan berkaitan kesalahan syariah, tidak termasuk hukuman mati.

Bagaimanapun pada November lalu, Hadi membawa usul yang dipinda semata-mata untuk meningkatkan hukuman maksimum bagi kesalahan syariah dari penjara tiga tahun kepada 30 tahun, denda RM5,000 dinaikkan kepada RM100,000 manakala sebatan enam ditambah menjadi 100.