Najib rayu pihak tertentu henti sabotaj ekonomi negara

najib-economy-malaysia (1)KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu pihak tertentu berhenti mensabotaj ekonomi demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, pendapat dan pandangan yang dibuat tanpa fakta dan asas bertujuan memburukkan ekonomi negara sedikit sebanyak membawa sentimen yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Oleh itu, perkara ini tidak wajar diteruskan, walaupun kita ada perbezaan pendapat politik, tapi kepentingan negara tidak seharusnya dijadikan pertaruhan dalam soal politik kepartian.

“Ini amat penting sebab kepentingan negara sepatutnya mengatasi segala-galanya dan inilah yang saya harap dan saya merayu jangan ada unsur-unsur sedemikian,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang ingin tahu bagaimana kerajaan menangani tekanan ke atas ringgit dan sabotaj ekonomi sesetengah pihak sehingga menyebabkan kestabilan ekonomi negara terjejas.

Perdana menteri mengambil contoh kerajaan baru-baru ini hampir terlepas pelaburan besar RM31 bilion Saudi Aramco disebabkan tindakan sabotaj pihak tertentu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan berjaya meyakinkan pelabur dengan mengemukakan fakta tepat mengenai keadaan sebenar ekonomi negara.

“Alhamdulillah, kita berjaya yakinkan mereka ekonomi Malaysia ini ditangani begitu baik dan kita mendapat penarafan tinggi badan-badan penarafan.

“Umpamanya kita dalam kategori ‘A-‘, hanya beberapa negara dalam kategori ‘A’, tetapi apa yang disebarkan pihak tertentu sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang ingin tahu cara kerajaan mengatasi tekanan ke atas ringgit, Najib berkata, penyusutan nilai mata wang bukanlah unik kepada Malaysia sahaja, sebaliknya keadaan ini turut dialami mata wang serantau, susulan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS).

Katanya, penyusutan nilai ringgit kebanyakannya didorong perubahan aliran dana yang dipengaruhi faktor luaran.

Menurut Najib, antaranya termasuk jangkaan kadar faedah di AS yang meningkat pada kadar lebih cepat, ketidaktentuan dalam harga minyak mentah dunia dan kebimbangan terhadap kadar pertumbuhan ekonomi serta ketidaktentuan pasaran kewangan di China.

Selain itu, katanya, ketidaktentuan politik di United Kingdom, kawasan Eropah dan AS juga menjejaskan permintaan terhadap aset dalam pasaran pesat membangun.

“Faktor-faktor ini memberi kesan negatif terhadap kebanyakan mata wang negara pesat membangun dan serantau, termasuk ringgit,” katanya.

Perdana menteri berkata, dalam menangani penyusutan nilai ringgit jangka pendek, kerajaan akan sentiasa memastikan pasaran pertukaran mata wang asing tidak terjejas supaya kegiatan ekonomi berjalan lancar.

Najib berkata, pada masa sama, kedudukan rizab Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$95 bilion akan terus menjadi penampan terhadap turun naik berlebihan dalam pasaran kewangan.

BNM juga, katanya, akan terus menyediakan mudah tunai di pasaran tempatan bagi memastikan keadaan pasaran stabil dan teratur.

Katanya, Jawatankuasa Pasaran Kewangan bersama BNM, juga mengambil langkah menggalakkan pasaran perlindungan nilai dan mengatasi ketidakseimbangan dalam pasaran pertukaran asing negara.

“Ini termasuk memastikan penukaran hasil eksport dalam mata wang asing ke ringgit. Aliran perolehan eksport mata wang asing ke dalam pasaran kita akan meningkatkan mudah tunai mata wang asing dalam pasaran dalam negara,” katanya.

Najib berkata, walaupun hanya 2 bulan sejak pengumuman langkah ini, terdapat tanda yang menunjukkan hasil menggalakkan di mana turun naik nilai ringgit menunjukkan kestabilan ketara sejak langkah itu dilaksanakan.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/03/19/jangan-bersekongkol-dengan-musuh-malaysia-kata-najib/