CAP: Alasan tak cukup tanah perumahan tidak boleh diterima

S.M.-Idris-rumahPETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini mempersoalkan kegagalan kerajaan menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat, dan berkata alasan tidak cukup tanah untuk tujuan itu tidak boleh diterima.

Presiden CAP, S.M. Idris berkata sebaliknya, negara sejak 25 tahun menyaksikan keluasan tanah komersil bertambah 30 kali ganda disebabkan dasar lebih mengutamakan pembangunan komersil daripada perumahan.

“Pada 1992, seluruh negara mempunyai 1.2 juta meter persegi ruang kompleks membeli-belah dan menjelang 2015 ruang runcit berkembang kepada 31.8 juta meter persegi.

“Adakah satu keperluan untuk memiliki 32 juta meter persegi ruang runcit bagi penduduk Malaysia yang berjumlah 30 juta?” soal Idris.

Menurutnya, ia mengakibatkan lambakan hartanah komersil yang sepatutnya boleh digunakan untuk perumahan awam, terutama ketika krisis ekonomi di mana banyak pusat beli belah terbengkalai disebabkan perniagaan dipaksa tutup.

Idris mencadangkan pemulihan kompleks membeli-belah yang terbengkalai dengan mengambil contoh pemulihan bangunan Arcade Ikonik di Amerika Syarikat, di mana kedai runcit diubah kepada loteng kecil berukuran 225 kaki persegi.

“Adalah satu hujah yang cacat untuk menyalahkan kekurangan tanah bagi harga perumahan yang tinggi kerana ia bergantung kepada kerajaan untuk memberikan keutamaan kepada skim perumahan awam daripada bangunan komersial,” katanya.

Idris berkata kerajaan juga boleh mempelajari kejayaan Singapura dalam memastikan sebahagian besar rakyatnya memiliki rumah.

Menurutnya, setakat 2015, kira-kira 5.6 juta penduduk Singapura ditempatkan ke dalam kawasan tanah.

“Jadi jika Singapura yang menghadapi kekurangan tanah boleh melakukannya, kenapa tidak Malaysia?”

Idris berkata kerajaan boleh mengambil alih pembinaan rumah awam seperti mana dilakukan di Singapura menerusi Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB).

Beliau memberi contoh bagaimana skim serupa pernah diguna pakai di Pulau Pinang dengan pembinaan Rumah Pangsa Padang Tembak yang menyediakan perumahan baik bagi golongan miskin.

“Bagaimanapun, usaha cemerlang ini hilang begitu sahaja apabila skim perumahan awam dibiarkan kepada pemaju persendirian dan institusi pinjaman komersial sepertimana yang dialami oleh kita sekarang.”