Kartrij pencetak, laptop antara barang larangan dalam pesawat

laptop

WASHINGTON: Daripada ubat gigi kepada pisau lipat, kartrij pencetak dan gunting, senarai hitam barang larangan dalam penerbangan antarabangsa semakin panjang, dengan komputer riba (laptop) adalah larangan terbaru dilaksanakan Amerika Syarikat (AS) dalam pesawat dari Timur Tengah dan Afrika Utara.

Britain turut mengeluarkan arahan sama untuk penerbangan terus dari beberapa negara dan negara lain dijangka mengikut jejak itu.

Berikut senarai kejadian keganasan yang menyebabkan pihak berkuasa pengangkutan antarabangsa melarang produk harian dalam kabin pesawat.

Kejadian 9/11: Titik perubahan

Selepas perampas merempuh pesawat komersial ke Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001, keselamatan dalam pesawat ditingkatkan secara besar-besaran di seluruh dunia.

Semua jenis pisau, tidak kira tumpul atau tajam, termasuk gunting dan pisau lipat dilarang dibawa ke dalam kabin pesawat dan bagasi penumpang.

Objek tumpul seperti pemukul besbol, belantan dan peralatan seni mempertahankan diri juga dilarang bersama senjata api tiruan.

Pengebom kasut

Pada 22 Disember 2001, lelaki British bernama Richard Reid ditahan dalam penerbangan American Airlines dari Paris ke Miami, ketika cuba meledakkan bahan letupan disembunyikan dalam kasutnya.

Penumpang kini boleh diarahkan menanggal dan menyerahkan kasut mereka untuk diimbas X-ray bersama barang lain yang dibawa mereka.

Pada Hari Krismas 2009, Umar Farouk Abdulmutallab dari Nigeria cuba meledakkan bahan letupan plastik yang disembunyikan dalam seluar dalamnya ketika sebuah pesawat dari Amsterdam, hampir tiba di Detroit.

Bahan letupan cecair

Pada 10 Ogos 2006, pihak berkuasa British mengumumkan kejayaan menggagalkan cubaan meletupkan beberapa pesawat di udara secara serentak menggunakan bahan letupan cecair.

Sejak itu, larangan ketat dilaksanakan ke atas cecair dan gel seperti ubat gigi. Pengecualian diberikan kepada tepung susu bayi yang perlu diuji terlebih dahulu sebelum dibawa ke dalam pesawat.

Bekas berisi cecair tidak melebihi 100ml dibenarkan, dengan syarat ia perlu dimasukkan dalam beg plastik boleh ditutup.

Seperti objek lain yang diharamkan – cecair boleh dibeli dalam kuantiti besar sebelum penumpang menaiki pesawat dari kedai di dalam kawasan melepasi pusat pemeriksaan keselamatan lapangan terbang.

Pencetak diubah suai

Bungkusan dihantar ke AS dan mengandungi bahan letupan disembunyikan dalam kartrij pencetak bersama sebuah peledak dipintas di Dubai dan London pada 28 Oktober 2010.

Untuk itu, kartrij pencetak kini dilarang dalam pesawat, walaupun di dalam bagasi daftar masuk, seperti semua produk mudah terbakar lain.

Bahan letupan cecair yang menjadi tanda tanya – pentaeritritol tetranitrat atau PETN adalah bahan sama yang digunakan Reid dan Abdulmutallab.

Komputer riba

Pada 2 Februari 2016, satu lubang berdiameter 1m (lebih 3 kaki) terbentuk di badan pesawat akibat letupan dalam sebuah Airbus A321 yang dikendalikan Daallo Airlines milik Somalia.

Hanya suspek terbabit terbunuh dalam serangan yang diakui dilancarkan militan Shabaab yang bergabung dengan al-Qaeda. Dua penumpang cedera ringan dan juruterbang berjaya melakukan pendaratan cemas.

Berdasarkan rakaman CCTV, suspek disyaki menyembunyikan bahan letupan dalam komputer ribanya sebelum menaiki pesawat.

Langkah keselamatan untuk peranti elektronik dipertingkatkan sejak 2014 dengan penumpang boleh diarah menghidupkan komputer dan telefon bimbit mereka bagi tujuan pemeriksaan sebelum menaiki pesawat.

Bateri litium

Selepas beberapa kejadian membabitkan bateri litium terbakar dalam pesawat, pihak berkuasa mengenakan sekatan ketat sejak April 2016.

Ada yang mendakwa bateri litium mungkin punca pesawat MH370 hilang sejak 8 Mac 2014 kerana mengangkut 1 bungkusan mengandungi ratusan kg bateri litium.

Peranti elektronik penumpang seperti komputer riba, telefon pintar dan tablet tidak dianggap berbahaya dan sering disimpan dalam kabin.

AS cadang haramkan laptop dalam penerbangan Timur Tengah