663,000 peminjam PTPTN tak pernah bayar sesen pun

#bolebincang

KUALA LUMPUR: Seramai 663,000 peminjam tidak pernah membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) walaupun sesen.

Pengerusi PTPTN Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kesan sikap peminjam yang tidak mengambil serius menjelaskan hutang menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban hutang tinggi hingga membantutkan peruntukkan kepada generasi baru yang ingin melanjutkan pelajaran.

“Kita mengeluarkan wang sebanyak RM48.7 bilion sehingga 31 Januari 2017 sejak PTPTN ditubuhkan pada 1997.

“Daripada jumlah itu kita sepatutnya kutip RM18.8 bilion tetapi kita hanya dapat kutip RM10.8 bilion saja, maknanya masih banyak tunggakan.

“Berdasarkan rekod, terdapat 663,000 pelajar yang langsung tidak bayar kepada kita dengan jumlah wang terkumpul RM4.7 bilion,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, pihaknya terpaksa menyenaraihitamkan individu yang gagal membuat bayaran itu selepas pertimbangan dibuat.

“Kita tidak ada pilihan, mereka perlu disenaraihitamkan supaya aliran wang dapat berjalan dengan betul.

“Daripada 663,000 yang tidak membuat pembayaran langsung hanya 19% disenaraikan kerana tunggakan terlalu banyak,” katanya.

Terdahulu, Shamsul melancarkan kempen #BolehBincang kepada peminjam PTPTN yang menunjukkan perbadanan itu sentiasa terbuka dan memberi ruang kepada penghutang menyelesaikan masalah/

Setakat ini, terdapat 2.6 juta peminjam yang masih belum melunaskan hutang di PTPTN.

“Dengan #BolehBincang, peminjam PTPTN boleh berbincang dan berunding dengan PTPTN dengan mudah dan cepat melalui pelbagai saluran perbincangan termasuklah menukar sistem pinjaman konvensional kepada sistem ujrah.

“PTPTN sedar ada peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman tetapi khuatir tiada jalan penyelesaian.

“Kita juga sentiasa terbuka untuk berunding, malah ada kes yang menghubungi kami jam 2, 3 pagi. Ada juga yang hubungi kita, ketika 5 minit lagi sebelum berlepas ke luar negara. Semuanya kita selesaikan,” katanya.

Beliau berkata kempen itu juga dapat menepis persepsi negatif terhadap PTPTN yang hanya menjadi badan mengutip wang tanpa rundingan.

PTPTN sebelum ini membuka kaunter di klia2 bagi memudahkan peminjam disenaraihitamkan yang mahu ke luar negara, membayar pinjaman mereka yang beroperasi 24 jam.

Awal tahun lalu PTPTN berjaya meningkatkan jumlah bayaran balik sebanyak RM3.4 bilion.

Shamsul berkata PTPTN menyasarkan jumlah kutipan tahun ini meningkat kepada RM4 bilion.

Peminjam boleh naik pesawat selepas bayar pinjaman PTPTN di klia2