Rahman bidas balik panggilan ‘ayam’ daripada Guan Eng

rahman-dahlan-limguengeng2PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan membidas Lim Guan Eng selepas Setiausaha Agung DAP itu memanggilnya “ayam” kerana menarik diri daripada program debat yang dirancang tahun lalu.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, debat antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz wajar diteruskan.

Beliau juga memuji Nazri sebagai berani kerana menjadi “pahlawan dalam Kabinet”, tidak seperti Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

“Tak semua menteri seperti Rahman, yang mencabar saya untuk berdebat dan kemudian menarik diri,” kata Guan Eng dalam sidang media di pejabatnya di George Town, hari ini.

Guan Eng merujuk kepada penarikan diri Rahman daripada debat awam mengenai penyelewengan hartanah di Taman Manggis, George Town.

Menteri di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mencabar Guan Eng untuk berdebat dengannya pada 6 Mac tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau menarik diri pada 16 April, hanya 3 hari sebelum tarikh yang dijadualkan dan beliau menjelaskan penarikan dirinya itu atas nasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Hari ini, Rahman menyatakan rasa tidak senangnya dengan kritikan Guan Eng itu melalui Twitternya.

Melalui Twitter @mpkotabelud, menteri itu berkata debat antara Nazri dan Mahathir berbeza kerana mereka bukan berdebat topik yang sedang disiasat.

“Saya tidak percaya Guan Eng tidak faham perbezaan penting ini,” tulis Rahman dalam twitternya.

“Saya menarik diri atas nasihat polis dan ini adalah keputusan yang betul kerana tidak lama kemudian, Guan Eng didakwa atas 2 tuduhan rasuah.”

Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon didakwa Jun lalu atas tuduhan rasuah berhubung pembelian hartanah pada 28 Julai 2015.

Dia didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan atas pembelian rumah daripada Phang bernilai RM2.8 juta, harga di bawah nilai pasaran sebenar iaitu RM4.27 juta.

Guan Eng juga didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk memperoleh suapan untuk diri dan isterinya, Betty Chew, dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar tanah pertanian untuk tujuan kediaman semasa mesyuarat exco kerajaan negeri pada 18 Julai 2014.

“Guan Eng lupa saya pernah berdepan Tony Pua, Rafizi (Ramli), Sivarasa (Rasiah), Datuk Dr Mujahid (Yusof Rawa), Yusmadi (Yusoff), Tian Chua banyak kali secara berdepan dalam parlimen.

“Guan Eng melambatkan perbicaraan dengan pelbagai halangan, padahal dia juga disuruh membersihkan namanya secepat mungkin, bukannya melengah-lengahkannya,” kata Ahli Parlimen Kota Belud itu.

Beliau juga mengkritik Guan Eng mendakwa Akta SPRM tidak mengikut perlembagaan, sambil menambah ia digunakan selama bertahun-tahun untuk orang lain termasuk bekas menteri besar Selangor Datuk Khir Toyo, katanya.