Seorang lagi diculik ala kes Pastor‎ Koh

wan-azizah

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengumumkan seorang lagi individu hilang tanpa dikesan dalam kes yang menyerupai penculikan Pastor Raymond Koh.

Katanya tidak lama selepas penculikan Raymond pada 13 Februari, beliau terima berita seorang aktivis sosial dari Perlis, Amri Che Mat, 43, juga hilang.

“Walaupun laporan polis dibuat, tidak ada berita, tidak ada susulan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Dewan Rakyat.

Isteri Amri, Norhayati Ariffin, 43, turut hadir di sidang media hari ini. Beliau berkongsi kali terakhir suaminya dilihat iaitu pada malam 24 November tahun lalu.

Beliau berkata suaminya pada 11.30 malam memberitahu anak perempuan sulung mereka yang dia akan keluar rumah.

Menurut Norhayati, ada beberapa kereta dan motosikal – lampu tertutup tetapi ada orang di dalamnya – berhampiran rumah mereka ketika suaminya keluar rumah.

“Sekitar tengah malam, kereta-kereta itu tiada lagi di situ. Kereta-kereta itu berada di situ lebih kurang 1 minggu.

“Pada 6.40 pagi keesokan hari, saya diberitahu polis temui kereta suami. Siasatan forensik mengesahkan kereta itu miliknya,” kata ibu kepada 4 orang anak itu.

Kereta ditemui kira-kira 20km daripada rumah mereka, berhampiran sebuah sekolah sukan yang ditinggalkan.

Norhayati berkata suaminya, seorang pedagang forex, tidak terima sebarang ancaman. “Tiada orang ancam dia,” kata guru itu.

Beliau juga mempunyai akses kepada akaun bank suaminya dan tiada transaksi luar biasa berlaku.

Norhayati menambah suaminya seorang aktivis sosial yang menganjurkan projek kebajikan untuk orang miskin dan membantu membina rumah dan menyumbangkan beras kepada ribuan keluarga.

Beliau berharap suaminya dapat ditemui dan bimbang kerana tiada perkembangan mengenai kes suaminya daripada polis.

Pengerusi PKR Perlis Mohammad Faisol Abd Rahman, 52 berkata pihaknya membantu keluarga membuat 2 laporan polis.

Beliau berkata kejadian itu bersifat jenayah kerana terdapat beberapa kereta diletakkan di kawasan perumahan selama beberapa hari sebelum kehilangan Amri.

“Pada malam Amri hilang, ada saksi mengatakan mereka ternampak kereta Amri dikepung beberapa kereta sebelum Amri dilaporkan hilang.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar G Mannivanan yang bersama di sidang media berkata, kereta aktivis mengalami kerosakan tetapi tiada cap jari.

“Nampak seperti kerja seorang pakar. Terancang. Dilakukan oleh profesional. Modus operasi hampir sama dimana kereta aktivis dihalang oleh beberapa kereta dan motosikal.

“Kita nampak ada trend penculikan sistematik sedang berlaku.”

Beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan holistik memandangkan sudah 4 bulan berlalu sejak kehilangan aktivis itu.