Pemimpin muda DAP Selangor persoal Pakatan tawar ‘muka sama’

miswary-pakatanPETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu mengetengahkan pemimpin muda untuk barisan paling depan, bukan lagi membayangkan pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan nama seperti Datuk Seri Wan Azizah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmin Ali, Lim Kit Siang atau Mohamad Sabu.

Setiausaha Cawangan DAP USJ Subang Jaya Nor Miswary Ramli berkata senarai nama di atas, ditambah dengan nama seperti Datuk Husam Musa dan Lim Guan Eng sebagai calon pemimpin tertinggi negara, akan mencetuskan lebih banyak perbahasan.

Beliau berkata PH perlu mengetengahkan pemimpin mereka yang lebih muda, dilihat berketerampilan dan lebih segar, kelihatan neutral dan tidak dipengaruhi sifat kepartian yang keterlaluan.

Katanya, ini semua perlu bagi menawan hati rakyat terutama pengundi muda, apatah lagi agak sukar bagi PH menamakan Anwar sebagai bakal perdana menteri, selagi bekas ketua pembangkang yang sedang menjalani hukuman penjara itu tidak mendapat pengampunan.

Miswary berkata pengundi muda bakal mencorakkan masa depan landskap politik negara kerana statistik sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menunjukkan jumlah pengundi muda keluar mengundi agak tinggi.

Pada PRU13, peratusan keluar mengundi tertinggi dalam sejarah PRU di Malaysia, iaitu 84.8% atau hampir 11.3 juta orang dengan kumpulan pengundi muda mencecah hampir 5.2 juta orang daripada keseluruhan pemilih berdaftar.

“Pada PRU 2008 terdapat lebih 600,000 pengundi muda, manakala pada PRU13 ia meningkat kepada hampir 3 juta orang.

“Daripada trend itu tidak mustahil PRU14 kita boleh menjangkakan jumlah pengundi muda yang akan mengundi untuk kali pertama meningkat sehingga 5 juta orang,” katanya.

Miswary berkata tiada sesiapa mampu menafikan pengundi muda akan menjadi “king maker” atau kuasa penentu kemenangan dan kekalahan mana-mana muafakat politik dalam PRU14 kali ini, bukan Anwar, Umno atau Tun Dr Mahathir Mohamad dan tentunya bukan PAS.

Katanya, menurut kajian sejak September 2016 oleh INVOKE iaitu NGO diasaskan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, segmen anak muda lingkungan 21 sehingga 24 tahun sekitar 45% dan menjadi terbesar selepas kumpulan umur 25 sehingga 28 tahun iaitu 24%.

Beliau berkata cadangan menamakan pemimpin muda tidak bermakna menolak kepentingan dan kedudukan pemimpin veteran yang umumnya diketahui kemampuan dan pengalaman mereka dalam politik.

“Mereka tulang belakang yang berperanan bahu-membahu di belakang pemimpin muda yang bakal diangkat itu nanti,” katanya.