Tahanan lari dari lokap mahkamah lebih 2 minggu ditahan

arrested

SEREMBAN: Seorang tahanan yang melarikan diri dari lokap mahkamah di sini pada 10 Mac lepas berjaya diberkas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Thiew Hock Poh berkata, lelaki berumur 29 tahun itu diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bukit Kelisa, kira-kira 9.15 malam.

“Suspek sebelum ini ditahan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun. Suspek kini direman 4 hari dan kes ini dibuka di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana cuai membiarkan seseorang lari dari kurungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 10 Mac lepas, suspek disedari hilang dari lokap mahkamah oleh anggota polis pengiring kira-kira 2.40 petang.