‘Umat Islam hanya minta hudud, bukan kesaksamaan’

Ahmad-Fairuz-Abdul-Halim-hudud

KUALA LUMPUR: Cadangan PAS meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana Perkara 8 mengenai kesaksamaan undang-undang tidak terpakai, kata seorang bekas ketua hakim negara.

Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata, “umat Islam tidak meminta kesaksamaan” dan “gembira mematuhi undang-undang” jika ia diluluskan di Parlimen.

Beliau mengulas bantahan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong terhadap rang undang-undang persendirian meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang diusulkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menyifatkan ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Tahun lalu, Mah dilaporkan berkata, RUU itu mungkin menyebabkan wujud 2 set undang-undang bagi kesalahan sama dan ia bercanggah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kesaksamaan undang-undang untuk rakyat.

“Gerakan kata tiada seorang pun perlu dilayan berbeza,” kata Fairuz dalam syarahan bertajuk “Islam sebagai Undang-undang Negara” di Hotel Majestic hari ini.

“Tetapi, saya kata umat Islam tidak meminta kesaksamaan, mereka gembira mengamalkan agama mereka, untuk mempunyai hudud.

“Mereka gembira mematuhinya kerana sesetengah orang percaya anda perlu ikut ajaran al-Quran bulat-bulat, walaupun ada khalifah sebelum ini menunjukkan masih ada ruang untuk tafsiran berbeza.”

Mengenai umat Islam yang mungkin tidak “gembira” dengan cadangan RUU 355, beliau berkata, mereka boleh tampil dan berbincang dengan umat Islam lain.

Bagi orang bukan Islam pula, katanya, mereka tidak sepatutnya bimbang kerana ia “tiada sebarang kesan” kepada mereka.

“Marilah, kita bincangnya sebagai orang Islam, ini perlu diselesaikan umat Islam. Akta 355 mengenai usaha memperkasa Mahkamah Syariah yang hanya mempunyai bidang kuasa ke atas umat Islam.

“Saya tidak faham mengapa saudara bukan Islam kita tidak berpuas hati dengannya. Ia tidak memberi kesan kepada mereka.

“Dan saya tidak suka bukan Islam bercakap tentang ini di khalayak ramai dan dipetik media, ini akan menimbulkan ketegangan di kalangan orang ramai.”

RUU 355 pertama kali dibentangkan Hadi di Dewan Rakyat pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Ahli Parlimen Marang itu pada sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimun 100 sebatan berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Orang bukan Islam bukan satu-satunya golongan menentang RUU 355 penuh kontroversi itu. Pemimpin Islam, termasuk dari Sabah dan Sarawak turut menentang RUU itu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/26/pas-rayu-presiden-gerakan-sokong-usul-hadi/