Seminar Haron Din hina Nik Aziz, kata pemimpin Amanah

raja-bahrinPETALING JAYA: Seorang pemimpin Amanah hari ini mempersoalkan laporan polis untuk menghalang sebuah seminar mengenai Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebaliknya berkata sebuah seminar bulan lepas cuba menafikan jasa bekas menteri besar Kelantan itu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah berkata laporan polis yang dibuat Sabtu lepas oleh salah seorang anak Nik Aziz itu berlawanan dengan keterbukaan pemimpin utama PAS itu yang meninggal dunia pada Februari 2015.

“Bukankah Islam menggalakkan perkembangan dan percambahan ilmu dari tokoh-tokoh agama?” soal Raja Bahrin yang merupakan antara wakil rakyat PAS yang meninggalkan parti Islam itu 2 tahun lalu.

Raja Bahrin berkata sumbangan dan pengaruh Nik Aziz adalah terlalu besar untuk disekat.

“Biarlah orang ramai yg membuat kesimpulan sepatutnya setelah mendengar penghujahan majlis ilmu tersebut.”

Minggu lalu, Amanah mengumumkan akan menganjurkan “Seminar Pemikiran Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat” pada 9 April, di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

“Keterampilan beliau yang serba sederhana, mesra rakyat sentiasa berada di tengah-tengah rakyat, merasai denyut jantung rakyat, menyebabkan beliau amat dihormati kawan dan disegani pihak lawan,” kata Setiausaha Agung, Mohd Anuar Tahir.

Nama Nik Aziz kerap disebut bekas pimpinan PAS yang kini sebahagian Amanah sebagai tokoh yang berjaya mewujudkan kerjasama antara parti Islam itu dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Gabungan politik itu terkubur beberapa bulan selepas kematian Nik Aziz pada Februari 2015, selepas muktamar PAS menyaksikan kemaraan penyokong Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang lantang menentang kerjasama dengan DAP disebabkan pendirian berbeza mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Sabtu lalu, salah seorang anak Nik Aziz, Nik Adli, membuat laporan polis kerana penggunaan nama bapanya dalam seminar itu.

Seorang lagi anak Nik Aziz, Nik Abduh, yang juga ketua Pemuda PAS, berkata seminar tersebut merupakan penghinaan terhadap bapa beliau.

“Amanah mahu menganjurkan sebuah seminar menggunakan nama tok guru dan parti itu mendakwa bapa saya akan menyokong Amanah, jika beliau masih hidup,” katanya.

Jasa Nik Aziz dinafikan

Raja Bahrin berkata tindakan anak Nik Aziz itu mewujudkan trend menghalang wacana ilmu.

“Kalau ini akan menjadi trend semasa apabila ilmu seseorang tokoh menjadi hak esklusif keluarganya atau hak golongan tertentu sahaja, di manakah letak inklusiviti Islam sebagai agama yang mengalakkan perbincangan secara ilmiah dan akademik pemikiran para ilmuan serta tokoh agama?” katanya.

Raja Bahrin turut mengingatkan bagaimana sebuah seminar pada Februari lalu mengenai Datuk Haron Din, yang cuba menidakkan jasa dan sumbangan Nik Aziz sebagai mursyidul am.

“Dalam seminar tersebut ada pihak tertentu, dari keluarga Nik Aziz sendiri, yang mengatakan cara pendekatan Almarhum Datuk Haron Din, yang menjadi mursyidul am selama 1 1/2 tahun, telah meletakkan perjuangan PAS di jalan yang betul sekaligus membawa makna bahawa Almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang memegang jawatan Mursyidul Am lebih dari 20 tahun telah gagal berbuat demikian,” kata Raja Bahrin.

“Saya berpendapat kenyataan yang memperkecilkan sumbangan dan ketokohan Nik Aziz, lebih serius dari menganjurkan Seminar Pemikiran Nik Aziz yang belum lagi terbukti kelemahannya.”

 

Keluarga buat laporan Amanah salah guna nama Nik Aziz