MEF: Graduan baharu memilih kerja punca pengangguran

Shamsuddin-Bardan-mef2PETALING JAYA: Majikan teragak-agak untuk mengambil graduan baharu kerana jangkaan “tidak realistik” dan keengganan graduan belajar kemahiran baharu, kata wakil Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan berkata ini situasi ekonomi semasa yang menyebabkan majikan kurang terbuka untuk mengambil risiko dan melatih kakitangan baharu.

“Masa depan ekonomi yang tidak stabil dan kebanyakan syarikat tidak mengambil kakitangan baharu, jadi terdapat kekurangan pengambilan pekerja untuk jawatan sedia ada,” katanya kepada FMT.

Shamsuddin mengulas laporan tahunan Bank Negara Malaysia 2016 semalam yang meletakkan kadar pengangguran belia sebanyak 10.7% pada 2015, lebih 3 kali ganda kadar pengangguran negara sebanyak 3.1%.

Bank pusat itu berkata keadaan ini terjadi kerana persekitaran perniagaan yang berwaspada yang tidak menggalakkan syarikat mengambil lebih ramai pekerja.

Shamsuddin berkata beberapa syarikat memilih untuk melabur dalam teknologi dan bukannya pengambilan pekerja baharu, yang memerlukan kos untuk melatih.

“Dua tahun lalu, industri perbankan memberhentikan 18,000 pekerja dalam pelbagai jawatan kerana beralih ke arah penggunaan teknologi.

“Ia mengambil masa sehingga setahun untuk melatih graduan baharu dan majikan lebih memilih pekerja yang ‘bersedia untuk bekerja’,” katanya.

Katanya, ramai majikan agak keberatan mengambil graduan baharu yang secara umumnya dilihat sebagai “terlalu memilih dan tidak realistik”.

“Ramai graduan baharu tidak berminat pada pekerjaan yang tidak berkaitan dengan bidang yang mereka pelajari.

“Ini tidak realistik dan menunjukkan mereka tidak bersedia untuk menyesuaikan diri dan belajar sesuatu yang baru,” katanya.

Dalam dunia hari ini, Shamsuddin berkata seseorang pekerja dijangka memiliki pelbagai kemahiran dan pengetahuan.

“Kita sekarang berada dalam era di mana pekerja dijangka dapat melakukan pelbagai tugas, dan graduan baru perlu terbuka untuk mempelajari dan melakukan perkara yang berbeza.”