Tak boleh bina rumah lain jika gagal siapkan Rumah Selangorku

Iskandar-Abdul-SamadSHAH ALAM: Selangor hari ini memberi amaran akan menghalang pemaju meneruskan projek baharu jika projek yang diamanahkan kerajaan negeri untuk membina Rumah Selangorku gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri Datuk Iskandar Abdul Samad berkata tempoh yang diberikan kepada pemaju untuk menyiapkan projek Rumah Selangorku ialah 36 bulan.

“Dari 2014 insentif itu dilancarkan, pemaju ada 3 tahun untuk bina. Tetapi kita bukan bimbang projek yang sedang dalam pembinaan atau sudah siap tapi yang pelan pembangunan sudah diluluskan tapi rumahnya tak dibina.

“Kita beri amaran jika pemaju tidak bina Rumah Selangorku, mereka tidak boleh bina rumah yang lain, memang kita akan halang mereka bina rumah menerusi pemberian baharu,” katanya ketika berucap di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Xavier Jayakumar (PKR-Sri Andalas) yang meminta kerajaan negeri menjelaskan perkembangan terkini projek Rumah Selangorku.

Iskandar berkata kerajaan negeri sedang membina 20,675 unit Rumah Selangorku menerusi 24 projek sejak Insentif Pembinaan Rumah Selangorku diperkenalkan.

Katanya, setakat ini hanya 665 unit yang siap dibina merangkumi 2 projek di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

“Berdasarkan pecahan, rumah Jenis A 1,333 unit, Jenis B 4,300 unit, Jenis C 8,875 dan Jenis D 6,167,” katanya.

Secara keseluruhan kerajaan negeri sudah meluluskan pembinaan 89,396 unit dengan 24,700 mendapat kebenaran merancang (KM) yang merangkumi 45 projek.

Manakala 3,803 unit merangkumi 13 projek mendapat kebenaran merancang serta pelan bangunan sejak insentif itu diperkenalkan.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/13/contohi-selangor-dalam-mengawal-harga-rumah-kata-exco/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/28/isu-rumah-jangan-jadikan-selangor-kambing-hitam-kata-exco/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/30/jangan-jahil-rakyat-miskin-tak-beli-apartmen-mewah-kata-exco/