LPF tidak terlibat dalam penayangan ‘Beauty and The Beast’, kata KDN

lpf-kdn

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini tampil memberi penjelasan tentang kelulusan tayangan filem Beauty and The Beast dibangkit pelbagai pihak baru-baru ini bukanlah diluluskan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF).

Filem “Beauty and The Beast” yang ditayangkan pada 30 Mac lalu, diluluskan oleh Jawatankuasa Rayuan Filem (JKRF) 9 hari sebelum tayangan.

Menurut KDN, isu penangguhan di Malaysia adalah keputusan pihak pengeluar filem itu, Walt Disney Pictures dan pengedar filem Buena Vista Columbia Tristar Films (M) Sdn Bhd.

“Ia tiada kaitan dengan LPF,” memetik kenyataan itu hari ini.

Menurut KDN, LPF menonton filem itu pada 17 Februari 2017 dan memberi keputusan Lulus Dengan Pengubahan (LDP) melibatkan 3 potongan dan 1 dialog disenyapkan (mute) atas adegan yang ada eleman “mempromosi gaya hidup gay”.

LPF akan menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan di bawah Akta Penapisan Filem 2002 untuk menentukan filem itu “lulus tanpa pengubahan”, “lulus dengan pengubahan” atau “enggan lulus”.

“Keputusan itu memberi tumpuan kepada 4 aspek iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.

“Di bawah akta itu, mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan LPF boleh kemuka rayuan kepada JKRF dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan LPF,” kata KDN.

Menurut KDN, pihak pengeluar dan pengedar tersebut kemudiannya mengemukakan rayuan pada JKRF pada 20 Mac 2017.

“Sehari selepas itu JKRF menonton tapis filem tersebut dan menimbang rayuan daripada pengeluar filem.

“JKRF beri kelulusan flem itu di bawah klasifiksi P13 tanpa potongan (Lulus Bersih dengan Klasifikasi P13) atas alasan elemen gay dalam filem tersebut adalah ringan dan tidak menjejaskan elemen positif yang dipaparkan keseluruah filem,” menurut kenyataan itu lagi.

JKRF adalah jawatankuasa bebas daripada LPF yang ditubuhkan berdasar Akta Penapisan Filem 2002 dan tidak terikat dengan keputusan LPF.

“JKRF diperuntukkan kuasa untuk mengesahkan, mengubah atau mengakas keputusan LPF.

“Pandangan LPF buat ‘U-turn’ atau mengubah keputusan dalam menonton filem bertapis ‘Beauty and The Beast’ adalah tidak berasas.

“Kewujudan LPF dan JKRF adalah secara berasingan berdasarkan undang-undang.

“Ini menunjukkan ada eleman ‘check and balance’ dalam proses penapisan filem negara ini.”