9 rakyat Malaysia di Korea Utara dalam perjalanan pulang

najjib-2

PETALING JAYA: Sembilan rakyat Malaysia yang terperangkap di Pyongyang dibenarkan meninggalkan Korea Utara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka “berlepas dari Pyongyang hari ini pada jam 7.45 malam waktu Malaysia, dan akan mendarat di Kuala Lumpur esok 5.00 pagi”.

Beliau juga mengumumkan warga Korea Utara dibenarkan meninggalkan Malaysia. Larangan dikenakan selepas Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan Korea Utara.

Selain itu, dengan selesainya bedah siasat ke atas mayat Kim Jong Nam dan surat daripada ahli keluarga meminta jenazah dihantar pulang ke Korea Utara, koroner memberi kebenaran untuk melepaskan jasad itu.

“Saya berterima kasih kepada kakitangan kerajaan Malaysia yang terlibat dalam rundingan, diketuai oleh kementerian luar negeri.

“Saya mempunyai kebimbangan mendalam tentang perkara ini, dan kami bekerja secara intensif di belakang tabir untuk mencapai kejayaan ini.

“Banyak halangan dapat diatasi bagi memastikan kepulangan rakyat Malaysia. Keselamatan warganegara kita sentiasa menjadi keutamaan saya.

Najib berkata siasatan polis ke atas pembunuhan Jong Nan, abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu akan diteruskan.

Dua wanita, seorang warga Indonesia dan seorang warga Vietnam, didakwa atas pembunuhan itu.

“Saya sudah mengarahkan supaya mengambil langkah sewajarnya untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” kata Najib.

“Sebagai perdana menteri, saya bersyukur kerana semua rakyat Malaysia bersatu mengatasi krisis ini dengan semangat Negaraku.

“Ia menunjukkan apa yang boleh dicapai untuk negara jika kita semua bersatu untuk bekerjasama.”