Bapa Siti Noor Aishah menangis terkenang nasib anak ditahan

Atam-Jusoh43

KUALA LUMPUR: Atam Jusoh gagal menahan air mata ketika menceritakan nasib anaknya, Siti Noor Aishah, yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan Jenayah 1956 (Poca).

Beliau yang diiringi NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan hadir di Dewan Rakyat hari ini bagi menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penahanan anaknya.

Bekas pelajar Universiti Malaya berusia 29 tahun itu pada mulanya ditahan pada Mac 2016, di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Sosma, ekoran memiliki 12 buku yang didakwa berkaitan kumpulan pengganas.

“Saya terkejut dengan penahanan anak saya. Dia hanya pelajar yang membuat kajian.

“Saya terlalu dukacita…minta maaf kepada wartawan, saya tidak boleh bercakap panjang,” katanya teresak-esak pada sidang media.

Ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Aishah yang merupakan bekas pelajar jurusan Usuluddin menegaskan buku tersebut hanyalah untuk tujuan penyelidikan ijazah sarjananya.

Sebaik selepas didapati tidak bersalah dan dibebaskan September lalu, anak sulung daripada 5 beradik itu ditahan semula di bawah Poca selama 60 hari, sebelum dikenakan tahanan rumah.

Pada 27 Mac lalu, dia sekali lagi ditahan di bawah Sosma ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kini ditempatkan di Penjara Kajang.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, kehadirannya bersama beberapa ahli Parlimen lain bagi menyatakan solidariti dan simpati kepada Aishah dan keluarga.

“Kita akan cuba mencari saluran bagi menyampaikan suara keluarga kepada pihak berkuasa,” katanya.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata, memorandum itu bagi mendesak Aishah dibebaskan segera daripada tahanan Sosma.

Tambahan, katanya, mereka turut mendesak Jabatan Peguam Negara menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi September lalu, dan memansuhkan beberapa akta yang disifatkan bertentangan hak asasi manusia, antaranya Sosma, Poca dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).

“Tidak perlu baca buku perundangan, ini jelas pencabulan hak asasi manusia. Saya harap pihak KDN dapat berjumpa dengan ahli keluarganya.”