Operasi pawagam Terengganu akan ditambah baik

Jidin-Shafie-pawagam-terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan cadangan wakil rakyat PAS agar ruang khas untuk keluarga disediakan dalam panggung wayang di PB Sentral di sini bagi membolehkan pengasingan penonton lelaki dan wanita dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Mohd Jidin Shafie berkata walaupun cadangan itu agak “membebankan” pengusaha panggung wayang tersebut, pihaknya akan cuba melihat kesesuaiannya.

“Sejak dilancarkan pada 18 Mac lalu, sambutan orang ramai sangat memberangsangkan. Saya dimaklumkan banyak tayangan filem yang penuh panggung, ini bagus untuk hiburan seisi keluarga.

“Kita kena ingat, tak semestinya yang datang tu belia saja, anak dan ibu bapa, adik beradik pun datang tengok juga…tak semestinya akan berlaku masalah sosial, tapi tak apalah kita tengok nanti bagaimana boleh buat tambah baik,” katanya ketika menggulung titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan DUN di sini hari ini.

Beliau mengulas isu dibangkitkan Ariffin Deraman (PAS-Alor Limbat) yang mahu kerajaan negeri mengasingkan penonton lelaki dan wanita dalam panggung wayang.

Panggung wayang di PB Sentral yang dikendalikan Lotus Fivestar Cinemas (M) Sdn Bhd bermula 18 Mac lalu menyediakan 11 dewan yang akan dibuka secara berperingkat.

Jidin yang juga Adun Permaisuri berkata ketika ini kamera litar tertutup (CCTV) memang sudah dipasang di beberapa kawasan sesuai di sekitar panggung tersebut untuk tujuan keselamatan pengunjung.

“Alor Limbat kata pastikan panggung wayang ni dalam cerah. Nak tengok wayang memanglah kena gelap sebab cahaya skrin pun dah cerah.

“Kerajaan negeri ambil maklum juga panggung wayang ini tidak akan beroperasi pada hari kebesaran dalam Islam. Ia hanyalah sekadar tempat hiburan untuk seisi keluarga. Biarlah ada sedikit hiburan di Terengganu ni yang sesuai dalam penerimaan rakyat negeri ini,” katanya.

Katanya, operasi panggung wayang itu tertakluk kepada peraturan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 serta Kaedah-kaedah Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2003.