Etihad, Qatar Airways beri penumpang pinjam komputer riba

use_laptop_flight_600

DUBAI: Qatar Airways dan Etihad Airways memberi penumpang meminjam komputer riba dan tablet untuk digunakan dalam pesawat susulan larangan Amerika Syarikat (AS) semua peralatan elektronik dibawa masuk bagi penerbangan ke AS.

Pada 25 Mac, pihak berkuasa AS melarang peralatan elektronik yang lebih besar daripada telefon bimbit dibawa masuk ke pesawat bagi penerbangan terus ke AS dari 10 lapangan terbang di Timur tengah, Afrika Utara dan Turki, termasuk Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu.

Qatar Airways semalam berkata komputer riba akan disediakan untuk penumpang kelas perniagaan bagi penerbangan ke AS, bermula minggu depan.

Penumpang kelas perniagaan akan mengambil komputer riba sebelum menaiki pesawat, di mana mereka juga perlu menyerahkan peralatan sendiri untuk disimpan dalam bagasi yang didaftarkan masuk, menurut kenyataan syarikat penerbangan berpangkalan di Doha itu.

Ketua pegawai eksekutifnya, Akbar al-Baker berkata perkhidmatan itu membenarkan syarikat penerbangan menawarkan perkhidmatan “seperti biasa”, walaupun sekatan dari AS dikeluarkan.

Hampir sama, Etihad juga meminjamkan tablet dan menawarkan wifi tanpa had bagi penumpang kelas perniagaan dan kelas pertama ke AS.

Syarikat penerbangan berpangkalan di Abu Dhabi itu sebelum ini berkata penumpang boleh menyerahkan peralatan yang dilarang di pintu masuk bagi mengurangkan gangguan.

Emirates juga sedang mempertimbangkan meminjamkan peralatan kepada penumpang ke AS, kata Presiden Tim Clark dipetik bercakap kepada Bloomberg pada Isnin.

Syarikat penerbangan itu yang pertama di negara Teluk, berkata penumpangnya boleh menyerahkan peralatan elektronik masing-masing sebaik saja ketika hendak memasuki pesawat.

Sekatan itu dibuat susulan laporan mengenai kumpulan militan mahu menyeludup bahan letupan dalam gajet elektronik, menyatakan alat elektronik yang lebih besar daripada telefon bimbit – termasuk komuter riba dan tablet – perlu disimpan bersama bagasi yang didaftar masuk bagi setiap penumpang penerbangan ke AS.

Pakar industri memberi amaran larangan itu boleh menjejaskan permintaan penumpang bagi syarikat penerbangan negara Teluk untuk laluan ke AS.

Al-Baker berkata terlalu awal untuk menyatakan sama ada permintaan bagi penerbangan syarikat itu akan terjejas atau tidak.

Emirates berkata kadar tempahan bagi penerbangan ke AS jatuh 35% selepas larangan kali pertama dikeluarkan Presiden Donald Trump, yang turut mengenakan sekatan terhadap negara majoriti Islam.