Kematian menantu TPM: Klinik simpan picagari terpakai dalam tin biskut

Syed-Alman-Zain-Syed-Alwi232

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu pusat pakar pergigian Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd yang didakwa berhubung kematian menantu timbalan perdana menteri semasa menerima rawatan gigi, menyimpan picagari dan jarum suntikan terpakai di dalam laci kabinet dan tin biskut.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Keselamatan Amalan Perubatan Swasta Bahagian Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Putrajaya, Dr Ahmad Fairol Mahat, 30, berkata beliau dan pasukan menemui sejumlah picagari dan jarum itu ketika membuat pemeriksaan di premis berkenaan pada 2 Jun 2016.

Beliau berkata, sejumlah picagari dan jarum suntikan ditemui dalam laci sebuah kabinet dan berisi cecair tidak dilabelkan.

“Sejumlah jarum lagi ditemui dalam tin biskut dan terdapat kesan seumpama darah,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Jaizah Jaafar Sidek pada perbicaraan hari ke-3 kes pusat pakar pergigian tersebut yang berdepan 9 pertuduhan berhubung kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi.

Saksi pendakwaan ke-5 itu berkata, beliau bertanggungjawab memeriksa pelan lantai klinik itu sama ada pelan itu masih sama semasa klinik berkenaan membuat permohonan lesen.

Saksi itu berkata, beliau dan pasukannya turut mengambil 52 keping gambar sekitar klinik itu bagi membantu siasatan.

Ketika ditanya apa yang dilakukannya selepas menemui picagari dan jarum itu, Fairol berkata, beliau mengarahkan wakil klinik itu membuangnya ke dalam tong sisa klinikal.

Kepada soalan Jaizah sama ada picagari dan jarum tersebut diletakkan di tempat sepatutnya, saksi itu berkata, tidak.

Fairol menjelaskan picagari dan jarum itu sepatutnya dilupuskan dengan kaedah sewajarnya kerana ia boleh mendatangkan bahaya biologikal seperti tusukan jarum dan jangkitan kepada kakitangan atau sesiapa sahaja yang terkena picagari atau jarum itu.

Menjawab soalan peguam P Sreekant ketika pemeriksaan balas mengenai jenis cecair yang terdapat dalam picagari dan sama ada ia sejenis ubatan, Fairol berkata, beliau tidak tahu kerana ia tidak dilabelkan.

Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan cadangan Sreekant yang beliau tidak pasti adakah kesan cecair yang dilihat pada jarum di dalam tin biskut adalah darah kerana tidak membuat sebarang ujian kimia dan membuat tanggapan ia adalah darah berdasarkan warnanya.

Ketika pemeriksaan semula Jaizah mengenai sebab saksi itu dan pasukannya tidak merampas picagari, jarum dan bekas biskut yang ditemui, beliau berkata, barangan itu tidak selamat.

“Bekas biskut tersebut tidak selamat dirampas kerana di dalamnya berisi sejumlah jarum yang digunakan. Secara amnya, bekas tersebut sepatutnya dilupuskan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada sesiapa yang menjumpai bekas tersebut,” katanya.

Pada 12 Ogos 2016, pusat pergigian yang diwakili pengarah syarikatnya, Dr Wong mengaku tidak bersalah atas 9 pertuduhan berhubung kematian Syed Alman Zain.

Antara pertuduhan itu ialah beliau selaku orang kena saman (OKS), didakwa sebagai pemegang lesen, didapati gagal memastikan Dr Ting Teck Chin, iaitu orang yang memberikan perkhidmatan anestesia kepada Syed Alman Zain mempunyai kelayakan anestesiologi.

Klinik itu didakwa sebagai pemegang lesen gagal memastikan individu yang berkhidmat untuk menjalankan prosedur radiologi (orthopantomogram) dan perkhidmatan anestesia secara “IV Sedation” ke atas Syed Alman Zain mempunyai kelayakan berbuat demikian.

Dakwaan lain terhadap premis tersebut ialah gagal menyediakan langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa pesakit dengan tidak menyediakan oksigen sebagai perkhidmatan jagaan kecemasan asas serta gagal mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) satu salinan semua rekod perubatan Syed Alman Zain semasa dia dipindah ke sana.

Klinik berkenaan turut didakwa gagal menyimpan dan menyenggara suatu daftar kakitangan, memastikan kehendak perlabelan ubat dipatuhi serta tidak mengambil langkah cukup untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal.

Semua kesalahan tersebut dilakukan di klinik yang terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, 26 Mei hingga 2 Jun lalu.

Tujuh pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(4), 39(2), 40(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 dan RM300,000, jika sabit kesalahan.

Dua lagi pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 49(7) dan 245(6) Peraturan-peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau 3 bulan penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin bersambung 24 April ini.