Lelaki cuba rasuah Sultan Johor serah diri kepada SPRM

sultan-johor-macc-1PUTRAJAYA: Individu yang dikaitkan dengan cubaan merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung penganugerahan darjah kebesaran menyerah diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, beberapa jam selepas beliau mengeluarkan amaran serah diri kepada lelaki berumur 54 tahun itu.

“Siasatan sedang dijalankan,” kata Azam ketika dihubungi.

Azam ketika ditemui pemberita pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SPRM, semalam, memberitahu SPRM memberi tempoh sehingga 12 malam tadi kepada individu yang cuba merasuah Sultan Johor itu menyerah diri.

Media yang berkumpul di perkarangan ibu pejabat SPRM itu tidak dapat melihat kelibat lelaki berkenaan.

Difahamkan, ketika menyerah diri, lelaki bersendirian tanpa ditemani peguam.

Pada 25 Mac lepas, Sultan Johor mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada ketua setiausaha negara bagi mendapatkan gelaran “Tan Sri” daripada Yang di-Pertuan Agong.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/03/30/individu-cuba-rasuah-sultan-johor-digesa-serah-diri/