RUU Hadi: Najib terima pendirian kami, kata BN Sarawak

james-masingKUCHING: Pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata, kerajaan persekutuan memutuskan untuk tidak membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang diusulkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana perdana menteri memberi perhatian terhadap bantahan mereka.

The Borneo Post memetik mereka sebagai berkata, keputusan tidak membentangkan RUU untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, adalah bukti Datuk Seri Najib Razak seorang pemimpin yang mendengar dan mementingkan konsensus.

Menurut laporan itu, antara parti komponen BN yang kuat membantah Akta 355 ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

The Borneo Post memetik Presiden PRS, Tan Sri Dr James Jemut Masing sebagai berkata: “Beliau (Najib) menghargai sentimen masyarakat pelbagai kaum di Malaysia dan tidak akan melangkah ‘garisan merah’ yang boleh memusnahkan semangat ketika Malaysia ditubuhkan.”

Masing berkata, pengajaran daripada episod ini ialah rakyat Sarawak perlu bersatu dalam isu membabitkan mereka.

Presiden SUPP, Senator Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, suara bersatu dari BN Sarawak memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan itu.

“Dengan BN Sarawak yang lebih kuat dan bersatu, kita mampu menentang sebarang isu yang memudaratkan kepentingan Sarawak dan negara dalam BN,” katanya.

Beliau berkata: “BN sebagai kerajaan memerintah, mempunyai tugas dan tanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia untuk memastikan semua kaum hidup aman dan harmoni serta bebas daripada sebarang krisis Perlembagaan atau saling tidak mempercayai.”

Pemangku Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata: “Beliau (Najib)dengan jelas menyatakan sebarang keputusan perlu berdasarkan konsensus dan keputusan tidak membentangkan RUU 355 (Akta 355) mencerminkan Najib seorang pemimpin yang mendengar suara pelbagai pihak, dan ia berita dialu-alukan.”

Ketua Pemuda PRS, Snowdan Lawan memuji Najib ialah pemimpin sejati yang dihormati dan menerima pandangan parti komponen BN yang lain.

“Inilah yang kita katakan semangat berpasukan. Walaupun Umno ialah parti terbesar di negara ini, presidennya memilih untuk mendengar kepada ahli keluarga BN lain, terutama dari Sabah dan Sarawak,” katanya dipetik The Borneo Post.

Snowdan mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Openg, Masing, “NGO dan mereka dari pembangkang” yang bersama menentang RUU Hadi.

Timbalan Ketua Wanita PBB, Datuk Fatimah Abdullah turut berkata, Abang Johari sudah menyatakan pendirian negeri itu kepada Najib dengan jelas.

Selasa lalu, Najib berkata, kerajaan tidak akan membentangkan RUU bagi meminda Akta 355 dan usul dibentangkan presiden PAS itu pada Mei 2016 akan kekal sebagai RUU persendirian.

 

Najib: Kerajaan tidak akan bentang usul Hadi

Hudud tak terpakai di Sarawak, kata ketua menteri