Majlis Syura putuskan kerjasama PAS-PKR

Hashim-Jasin-pas-pkr

ALOR SETAR: Hanya Majlis Syura Ulama PAS yang akan membuat keputusan sama ada PAS perlu memutuskan hubungannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau sebaliknya, kata mursyidul amnya, Hashim Jasin.

Beliau berkata, walaupun Muktamar Agung PAS penghujung bulan ini akan memutuskan kata sepakat daripada perwakilan mengenai perkara itu namun ia mesti mendapat keputusan majlis berkenaan selepas itu.

“PAS ada garis panduannya untuk memutuskan sebarang keputusan untuk berkawan dengan siapa, mahu berlawan dengan siapa ataupun mahu berkecuali untuk berkawan.

“Majlis Syura lah akhirnya akan membuat penilaian dan menilai sama ada menerima atau tidak apa-apa ketetapan daripada muktamar nanti.

“PAS bukan parti yang bodoh kerana kita boleh menilai sesuatu itu sama ada baik atau tidak,” kata beliau pada perasmian mesyuarat PAS Kawasan Kuala Kedah di sini, semalam.

Hashim berkata walaupun ketika ini semua kawasan sedang mengadakan mesyuarat di peringkat masing-masing, terpulanglah kepada mereka membuat usul untuk tidak bersama PKR atau mana-mana parti yang lain bagi dibincangkan pada muktamar nanti.

Katanya, biar perwakilan pada muktamar nanti menyuarakan pandangan mereka dan membuat keputusan yang kemudiannya akan dimuktamadkan selepas itu.