RUU 355: Terserah kepada Speaker Dewan Rakyat, kata TPM

zahid-ruu355PETALING JAYA: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 April ini.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia tertakluk kepada budi bicara speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“RUU 355 akan dibentangkan Ahli Parlimen Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Kita serahkan kepada budi bicara Speaker sama ada huraian pindaan ini akan diberikan secukupnya dan perbahasan akan dibuat atau sebaliknya,” katanya.

Zahid yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan MCPF kali ke-24 di sini, hari ini.

Pada 29 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Akta 355 di Parlimen dan ia akan kekal sebagai RUU persendirian, susulan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan
Nasional (BN) yang secara konsensus membuat keputusan mengenai perkara itu.

Zahid berkata, terserah kepada Pandikar Amin untuk menentukan kedudukan RUU itu sama ada dibentangkan atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, saya yakin pengundian tidak akan dilakukan. Saya tidak fikir speaker akan buka untuk mengundian dijalankan. Apa pun terserah kepada speaker untuk menentukan tata cara dalam persidangan dewan itu diikuti mengikut budi bicara beliau,” kata beliau.

Najib: Kerajaan tidak akan bentang usul Hadi