6 termasuk 2 kanak-kanak maut kemalangan di Lahad Datu

Road-accident,-Unimas,-Universiti-Malaysia-SarawakLAHAD DATU: Enam maut termasuk 2 kanak-kanak selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Lahad Datu-Tawau di sini, malam tadi.

Kereta jenis Proton Saga itu dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta pacuan 4 roda, kira-kira pukul 10 malam.

Mangsa yang maut dikenali Said Tuan Ramba, 28, yang juga pemandu kereta serta 5 penumpang Ismail Mangu, 25; Markus Mae Siku, 52; Parida Perada Jamuludin, 35; Shahril Ismail, 5, serta Putri Ismail, 2.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, kemalangan berlaku selepas kereta itu yang dalam perjalanan dari Lahad Datu ke Tawau hilang kawalan dan terbabas hingga melintang di laluan bertentangan.

“Kenderaan pacuan 4 roda jenis Isuzu Dmax yang datang dari arah Tawau tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat, lalu merempuh kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamzah berkata, pemandu Isuzu itu yang juga seorang penyedia ladang turut mengalami kecederaan parah di pinggang dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.