Gap Year bukan program paksaan, kata menteri

idris-jusoh_kolej_600BESUT: Menteri pendidikan tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, tiada paksaan dikenakan ke atas penuntut universiti awam (UA) tempatan untuk menyertai program Gap Year.

Program perintis yang dijangka bermula pada September ini membabitkan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara itu adalah bagi memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.

“Tiada paksaan kepada pelajar untuk menyertai program ini dan ia lebih kepada usaha kerajaan untuk menanam budaya kasih sayang dalam kalangan pelajar institusi pendidikan tinggi,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menghubungi media dari India untuk memberikan penjelasan berhubung program Gap Year bagi mengelakkan kekeliruan berikutan ada pihak menyangka ia merupakan program paksaan dan akan membebankan pelajar.

Program Gap Year akan membolehkan penuntut UA mengambil ‘cuti’ setahun daripada tempoh pengajian untuk bekerja dalam bidang diminati atau menjalankan aktiviti kesukarelawan.

Program perintis itu akan memberi peluang kepada pelajar yang berminat untuk bekerja dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Program Latihan Khidmat Negara (PKLN).

Idris berkata, program itu telah dilaksanakan di beberapa negara maju yang membenarkan pelajar mengambil tempoh tertentu daripada pengajian untuk menyertai bidang kesukarelawanan bagi memberi peluang mereka berbakti kepada masyarakat dan menimba pengalaman.