Penyokong Tajuddin desak polis buka balik kertas siasat terhadap Khalid

tajuddin-khalidKUALA LUMPUR: Kumpulan penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman hari ini mempersoalkan keputusan polis tidak melakukan siasatan lanjut terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad

Dr Faizal, yang juga anak kepada Tajuddin dan salah seorang yang didakwa menyerang Khalid, berkata polis sepatutnya mengambil tindakan terhadap pemimpin Amanah itu kerana memanggil bapanya “sial”.

“Kenapa orang yang mencetuskan provokasi ini tidak diambil tindakan dan lepas begitu saja tanpa siasatan?” katanya pada sidang media bersama peguam dan penyokong lain di Hotel One World, di sini hari ini.

“Adakah kerana Khalid seorang ahli Parlimen, maka kami sebagai rakyat biasa dianaktirikan?”

Dr Faizal menambah pihaknya juga akan menulis surat kepada ketua polis negara menggesa laporan polis terhadap Khalid dibuka semula.

Menurut beliau, laporan polis terhadap Khalid dibuat di IPD Hilir Perak 23 November lalu, iaitu sehari sebelum kejadian di Parlimen, tetapi dikelaskan sebagai “tiada tindakan selanjutnya” (no future action) 2 hari kemudian.

Sebaliknya, para penyokong Tajuddin yang hadir ke Parlimen tempoh hari pula diambil tindakan dan didakwa di mahkamah.

Beliau bersama 7 individu lain mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkelakuan aib di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100 jika disabitkan kesalahan.

Semalam di Dewan Rakyat, kementerian dalam negeri memaklumkan mereka di siasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Kami mempertahankan nama pemimpin yang kami sayang dan ahli keluarganya tapi kami pula yang dikenakan tindakan yang berat,” kata Dr Faizal, yang juga ketua pemuda Umno Pasir Salak.

Mengenai kes beliau di mahkamah, Dr Faizal berikrar tidak akan membayar denda walaupun RM1 kerana percaya mereka tidak bersalah, dan akan membuat rayuan jika keputusan mahkamah tidak menyebelahi mereka.

“Walaupun kita dikenakan hukuman dan diperintah membayar denda RM100 sekalipun, kami tetap dengan pinsip kami walaupun mengambil masa 10 tahun,” katanya, yang ditemani adiknya, Firdaus.

Pada 24 November, sekumpulan lelaki mengganggu Khalid sambil melaungkan “Hidup Pasir Salak! Hidup Pasir Salak!”.

Insiden bertukar teruk apabila salah seorang daripada mereka terjatuh ketika berdepan pihak keselamatan.

Mereka kemudian mengejar Khalid tetapi pihak keselamatan berjaya melindungi beliau daripada mereka.

Khalid berkata mereka sepatutnya didakwa di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 7 tahun bagi kesalahan menyerang seorang ahli Parlimen.

Penyerang di Parlimen patut dipenjara, kata Khalid